18 KUMPULAN BELIA TERIMA DANA ‘IMPOWER’ BERJUMLAH RM689,493.00 UNTUK LAKSANAKAN PROGRAM PEMBANGUNAN KOMUNITI DI ISKANDAR MALAYSIA

ISKANDAR MALAYSIA, 23 FebruarI 2020 – Sebanyak 18 kumpulan belia telah menerima dana ‘IMPower’ berjumlah RM689,493.00 untuk melaksanakan pelabagai program dan aktiviti yang membawa perubahan positif kepada komuniti di Iskandar Malaysia.

“Keterangkuman sosial merupakan salah satu konsep penting dalam pembangunan Iskandar Malaysia dan ‘belia’ pula merupakan komuniti yang sememangnya menjadi fokus di wilayah ini terutama sekali sebagai bakal pemimpin masa hadapan. Penyediaan dana khas, seperti ‘IMPower’ untuk golongan belia, akan dapat mendedahkan dan memberi peluang kepada mereka untuk meneraju, melaksanakan dan menimba pengalaman dalam program dan aktiviti yang membawa perubahan positif kepada komuniti di Iskandar Malaysia,” kata YBhg Datuk Ismail Ibrahim, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Beliau menambah lagi bahawa secara tidak langsung, pengagiihan dana ‘IMPower’ ini turut membentuk satu ekosistem kerjasama yang penting antara komuniti, pihak swasta dan kerajaan dalam memastikan agar komuniti di Iskandar Malaysia turun menikmati limpahan manfaat daripada pembangunan pesat wilayah ini.

18 kumpulan belia yang menerima dana ‘IMPower’ pada hari ini adalah penerima untuk Batch #5. Sejak ditawarkan pada tahun 2017, dana ‘IMPower’ ini telah diberikan kepada 44 kumpulan belia yang menjalankan pelbagai projek komuniti daripada segi keusahawanan, kesukarelawan, pendidikan, sukan dan kesihatan; dan seni dan budaya.

Antara kriteria pemberian dana ini adalah program dan aktiviti yang dicadangan oleh kumpulan-kumpulan belia ini mestilah mempunyai impak yang besar kepada komuniti di Iskandar Malaysia, mestilah dapat memberikan kesan positif kepada seramai mungkin penduduk di Iskandar Malaysia, mestilah mempunyai kesinambungan dan mampu untuk terus dilaksanakan pada masa hadapan dan mestilah mempunyai kaitan yang kukuh dengan agenda pembangunan Iskandar Malaysia.

Antara 18 program yang berjaya menerima dana ‘IMPower’ untuk Batch #5 ini termasuklah program ‘Teknologi Lepas Tuai Untuk Petani Moden’ yang mengajar dan menawarkan perkhidmatan menukar hasil pertanian yang berlebihan, seperti serai, kepada barang harian seperti sabun dan pewangi; ‘Mushroom Cultivation’ yang mengajar kumpulan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk memulakan peladangan dan perniagaan cedawan sebagai salah satu sumber pendapatan mereka; ‘Student Startup Incubator’ yang menyediakan latihan untuk mentransformasi para pelajar menjadi usahawan berjaya; dan ‘Sekola Baroka’ yang menyediakan tempat latihan dan pendidikan untuk kanak-kanak sekitar Johor Bahru yang kurang bernasib baik.

Turut mendapat bantuan dana ‘IMPower’ kali ini adalah program ‘Plan-Plan’, sebuah festival seni yang bertujuan untuk meningkatkan minat dan mengangkat aktiviti seni sebagai satu agenda penting dalam komuniti; ‘Ghazal Ensemble’ yang akan melatih dan membentuk 2 kumpulan Ghazal baru yang bakal mengekalkan dan mewarnai dunia seni tempatan; ‘Spunkdok Rock School’, iaitu sebuah sekolah muzik yang akan melatih pelajar-pelajar sekolah untuk menjadi pemuzik professional sebagai satu cabang hobi dan kerjaya mereka; dan juga ‘1 Sekolah 1 Silat’ yang ingin mengangkat dan mengekalkan tradisi silat antara belia kini selain daripada menjadikan silat sebagai satu skil mempertahankan diri.

Daripada Batch #1 ke Batch #5, sebanyak RM1.2 juta telah diberikan kepada semua 44 kumpulan belia yang berjaya.

Selain daripada menerima dana mereka pada hari ini, kumpulan-kumpulan belia ini turut diperkenalkan kepada Youth Hab @ Johor Bahru atau HAB, sebuah pusat belia yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. HAB akan dapat membantu kumpulan belia ini untuk untuk terus melaksanakan program dan aktiviti mereka melalui kemudahan yang sedia ada di pusat itu seperti fasiliti dan peralatan bersukan, bilik mesyuarat, dewan dan ruang acara dan aktiviti, ruang persembahan, galeri jualan dan lain-lain lagi.

‘Sejak penubuhan Iskandar Malaysia 14 tahun yang lepas, kita memandang serius dalam membangun dan menyediakan komuniti belia untuk menjadi pemimpin atau ahli perniagaan atau pakar-pakar terpilih pada masa hadapan supaya wilayah ini terus dapat diterajui dan disokong oleh mereka ini. Sebab itu pelbagai inisiatif penting, seperti dana ‘IMPower’ ini dilaksanakan dan ditawarkan kepada golongan belia di Iskandar Malaysia untuk memastikan pembangunan komuniti yang berterusan dan kesinambungan wilayah ini sebagai sebuah Metropolis Antarabangsa yang Mampan dan Kukuh,” kata Datuk Ismail.

-Tamat-

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eight + 8 =