BAJET 2017 MENYOKONG KESINAMBUNGAN PEMBANGUNAN ISKANDAR MALAYSIA

ISKANDAR MALAYSIA, JUMAAT, 21 OKTOBER 2016: Pengumuman Bajet    2017 yang menyeluruh oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dapat meningkatkan dan membantu Rakyat dalam menghadapi situasi ekonomi yang mencabar ketika ini.

Datuk Ismail Ibrahim, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berterima kasih kepada Kerajaan yang memperuntukkan RM2.1 billion untuk pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi untuk koridor-koridor ekonomi termasuk Iskandar Malaysia. ketika memberikan komen selepas pembentangan Bajet 2017.

“Iskandar Malaysia akan berusia sedekad pada 4 November ini. Sempena kematangan wilayah pembangunan ini, Iskandar Malaysia akan terus memberikan manfaat kepada rakyat dan menyeru rakyat untuk terus mengambil peluang serta bahagian hasil daripada limpahan ekonomi di Iskandar Malaysia,” kata Datuk Ismail.

Dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat, Iskandar Malaysia menyambut baik usaha Kerajaan dalam memberikan insentif bagi membolehkan Rakyat memiliki rumah, khususnya bagi pemilikan rumah pertama. Selain itu, pembinaan rumah sewa sebanyak 10,000 unit di kawasan bandar khusus untuk belia akan menyokong usaha Iskandar Malaysia untuk menarik bakat ke wilayah ini. Ini juga selaras dengan trend sebahagian belia yang memilih untuk menyewa  bagi tujuan mobiliti.

Di samping itu, dengan peningkatan populasi di Iskandar Malaysia, adalah penting wilayah ini mempunyai sistem perhubungan awam yang berkesan.

“Iskandar Malaysia komited dalam menyediakan infrastruktur pengangkutan awam seperti Bas Rapid Transit (BRT), Rapid Transit System (RTS) dan High Speed Rail (HSR). Kemudahan-kemudahan ini sudah tentu meningkatkan lagi nilai pelaburan di Iskandar Malaysia dan paling utama adalah manfaat kepada rakyat,” tambah Datuk Ismail.

Pengumuman penambahan frekuensi perjalanan perkhidmatan ETS Johor Bahru ke Padang Besar juga meningkatkan kesaling-hubungan wilayah ekonomi ini, di samping menarik lebih ramai pelancong dan menyokong sektor Pelancongan di Iskandar Malaysia.

Antara lain usaha Iskandar Malaysia meningkatkan kesaling-hubungan di wilayah tersebut adalah dengan membawa perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang lebih murah dan cepat kepada Rakyat serta pelabur-pelabur di Iskandar Malaysia. Sehubungan ini, Projek Infrastruktur Informasi Bersepadu Iskandar Malaysia (IM3i) ini adalah hasil usahasama antara IRDA, Kerajaan Negeri, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) dan ABT.

“Kemudahan ini akan membantu dan menyokong usahawan serta pelabur menjalankan perniagaan secara e-dagang untuk pasaran yang lebih meluas dan sudah tentu sejajar dengan usaha Kerajaan memberikan rangkaian internet yang lebih baik,” kata Datuk Ismail.

Iskandar Malaysia juga akan terus membantu dalam pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Pengukuhan keupayaan PKS untuk bersaing memasuki pasaran eksport dan pelaburan dalam aspek inovasi serta penyelidikan masih lagi boleh diperbaiki dan dipertingkatkan.

Dalam usaha memastikan kemampanan bekalan bakat dan modal insan di wilayah ini, IRDA akan terus memainkan peranannya sebagai pemudah cara dengan penganjuran sidang kemuncak untuk pihak-pihak berkepentingan dalam bidang Sumber Manusia berkongsi idea, pengalaman dan mencari penyelesaian masalah.

“Iskandar Malaysia menyambut baik inisiatif Kerajaan dalam memberikan insentif kepada syarikat-syarikat swasta yang menyediakan Program Latihan Industri Berstruktur bagi pelajar yang mengambil ijazah, diploma dan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dan di bawah Program TVET.

“Ini sudah tentu dapat menggalakkan penyertaan industri untuk menyediakan bakat-bakat yang diperlukan industri di tambah baik dan dilanjutkan bukan hanya untuk pengambilan pekerja baru tetapi juga untuk pekerja yang telah lama berkhidmat supaya dapat meningkatkan kompetensi dan kemahiran bagi peluang kenaikan dan pengembangan kerjaya,” kata Datuk Ismail.

Di samping itu, peruntukan yang diberikan untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam pekerjaan menerusi program seperti ‘Women Career Comeback’ akan menarik golongan surirumah yang berkelayakan profesional untuk kembali bekerja sebagai bekalan modal insan yang berpengetahuan di Iskandar Malaysia.

Iskandar Malaysia juga menyambut baik usaha Kerajaan yang menyediakan peruntukan RM536 juta untuk menaiktaraf kemudahan hospital serta peralatan rawatan kardiologi di beberapa hospital termasuk Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru atau Flagship A, Iskandar Malaysia.

Antara lain yang memberi manfaat, jumlah besar yang diperuntukkan bagi menambahbaik bekalan air selaras dengan sasaran populasi Iskandar Malaysia seramai 3 juta menjelang 2025.

“Semua agenda mampan ini adalah untuk menjadikan Iskandar Malaysia sebagai sebuah metropolis pintar yang merangkumi aspek ekonomi, alam sekitar dan sosial. Ini adalah matlamat kami bagi memastikan keterangkuman Iskandar Malaysia memberi manfaat kepada Rakyat bukan sahaja di wilayah ini tetapi juga seluruh negara,” kata Datuk Ismail.

Beliau juga menzahirkan penghargaan beliau kepada Kerajaan bagi bajet kali ini yang mengambil kira kebajikan rakyat Malaysia daripada semua peringkat termasuk peserta industri dan golongan usahawan.

 

#TAMAT#

 

Latar Belakang IRDA

Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) adalah badan berkanun yang diberi mandat untuk merancang, mempromosi dan menjadi pemudahcara kepada pembangunan di Iskandar Malaysia. IRDA turut bertanggungjawab merealisasikan wawasan dan objektif Iskandar Malaysia menjadi sebuah metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan mampan.

 

Untuk petanyaan lanjut, sila hubungi:

 Sulaiman Yahya – sulaiman@irda.com.my

Norliza Isa – norliza@irda.com.my

Izyan Ahmad – izyan@irda.com.my

 

Latar Belakang Iskandar Malaysia:

Iskandar Malaysia adalah satu pembangunan koridor ekonomi yang berkembang pesat di Selatan Johor, Malaysia. Pembangunan rantau ini seluas 2,217 kilometer persegi iaitu tiga kali ganda daripada keluasan Singapura dan dua kali ganda keluasannya daripada Hong Kong. Iskandar Malaysia dijangka memanfaatkan sinerginya dengan Singapura kerana ia bertujuan untuk melengkapi antara satu sama lain sebagai sebuah hab ekonomi. Di bawah ketelitian Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia, rantau ekonomi ini terdiri daripada lima zon utama.

Dengan kelebihan tanah yang luas, ini adalah projek pembangunan tunggal terbesar yang akan dilaksanakan di rantau ini. Disebabkan lokasinya yang strategik, akses ke bandar-bandar utama Asia, berdekatan dengan beberapa buah negara yang berkembang dengan pesat dan kepentingan ekonomi, Iskandar Malaysia bersedia untuk menarik pelabur asing dan pelaburan korporat peringkat tinggi kerana pelabur yang arif melihat manfaat pertumbuhan rantau ini dalam Asean dan Asia. Terletak di Johor yang menjadi titik persinggahan di selatan Semenanjung Malaysia, antara kelebihan Iskandar Malaysia termasuk:

  • Enam hingga lapan jam radius penerbangan daripada pusat pertumbuhan Asia yang berkembang seperti Bangalore, Dubai, Hong          Kong, Seoul, Shanghai, Taipei dan Tokyo.
  • Dalam jangkauan pasaran global lebih kurang 800 juta penduduk.
  • Boleh diakses melalui udara, darat, kereta api dan juga laut
  • Diapit oleh tiga pelabuhan utama iaitu Pelabuhan Pasir Gudang, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Tanjung Langsat Port.

 

Share this post