Bas percuma diperluas seluruh negeri tahun depan

SAMBUTAN memberangsangkan daripada rakyat tempatan terhadap Perkhidmatan Bas Muafakat Johor (BMJ) di empat kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) membolehkan perkhidmatan itu diperluaskan ke semua daerah di Johor mulai tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Suhairi Hashimberkata, perkhidmatan itu akan diperluaskan kepada semua PBT melibatkan 50 laluan di seluruh negeri.

“Ketika ini perkhidmatan itu disediakan di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) serta Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan akan diperluaskan kepada semua PBT di Johor.

“Kawasan-kawasan yang telah dan akan terlibat termasuk Johor Bahru, Pontian, Kulai, Kluang, Batu Pahat, Muar, Tangkak, Segamat, Mersing dan Kota Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khamis lalu, menerusi Bajet Johor 2017, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan penambahan jumlah perjalanan dan jarak laluan BMJ melibatkan peruntukan RM21 juta.

Peruntukan itu merupakan sumbangan kerajaan negeri dan PAJ bertanggungjawab menyedia, menyelaras dan memantau satusatunya perkhidmatan bas percuma khusus untuk warganegara.

Semasa diperkenalkan pada April 2016, perkhidmatan berkenaan hanya melibatkan 15 laluan di dalam Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia.

Menurut Suhairi, langkah tesebut merupakan satu inisiatif kerajaan negeri dalam mengurangkan beban sara hidup rakyat seperti diumumkan dalam bajet berkenaan.

“Perkhidmatan ini juga mampu meningkatkan jaringan pengangkutan awam yang selesa serta efisien di seluruh Johor,” katanya sambil menambah kerajaan negeri tetap komited untuk terus memberi kemudahan dan keselesaan kepada masyarakat.

Share this post