BELANJAWAN 2019 PACU PERKEMBANGAN PEMBANGUNAN ISKANDAR MALAYSIA SECARA MENYELURUH

ISKANDAR MALAYSIA, JUMAAT, 2 NOVEMBER 2018: Pengumuman Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Yang Berhormat Tuan Lim Guan Eng, yang bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’ dilihat akan dapat terus membantu memacu perkembangan pembangunan Iskandar Malaysia secara menyeluruh ke arah menjadi sebuah metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan mampan. Datuk Ismail Ibrahim, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), menyambut baik Belanjawan 2019 yang meletakkan fokus di dalam usaha melaksanakan reformasi institusi, memastikan kesejahteraan rakyat dan juga memupuk budaya negara keusahawanan.

“Iskandar Malaysia kini berada pada Fasa 3 pembangunannya yang bertemakan ‘Mampan dan Inovasi’ yang mana fokus utama kami kini bukan sahaja untuk mengekalkan keutuhan dan momentum pembangunan wilayah ini daripada segi ekonomi, sosial dan alam sekitar tetapi yang lebih penting lagi adalah untuk memastikan pembangunan wilayah ini adalah inovatif dan bertaraf dunia,”

“Kerana itulah, belanjawan pada kali ini benar-benar sejajar dengan perancangan dan fokus wilayah ini iaitu ‘Kitaran Kemampanan’ seperti yang digariskan di dalam Rancangan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia ii (CDPii). Ini seterusnya membolehkan Iskandar Malaysia memainkan peranannya dalam menyokong usaha kerajaan menjadi kuasa besar di rantau ini,” kata Datuk Ismail.

Dari segi ekonomi, sebagai sebuah wilayah yang menarik pelaburan dari dalam dan luar negara, perancangan belanjawan yang teratur, kukuh dan menyeluruh akan terus meningkatkan keyakinan dan minat pelabur terhadap Iskandar Malaysia.

Ini sekaligus memberi manfaat kepada Rakyat hasil daripada limpahan ekonomi, dan membolehkan Iskandar Malaysia mencapai sasaran jumlah pelaburan sebanyak RM383 bilion menjelang 2025. Pemansuhan tol motorsikal di Lebuhraya Laluan Kedua di Johor dan juga peruntukan untuk penambaikan kemudahan seperti Autogate Malaysia Automated Clearance System dan M-Bike akan turut membantu usaha di atas.

Ekonomi kreatif di Iskandar Malaysia turut mendapat perhatian kerajaan melalui Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) termasuklah peruntukan khas daripada Khazanah berjumlah RM100 juta untuk penerbitan filem di Pinewood Studios di Iskandar Malaysia.

Iskandar Malaysia juga menyambut baik usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat melalui strategi-strategi seperti menjamin kebajikan dan kualiti hidup, meningkatkan peluang pekerjaan dan kebolehpasaran, meningkatkan pendapatan boleh guna yang mana termasuk inisiatif perumahan untuk semua, pengalakkan pengunaan pengangkutan awam dan pendidikan bagi masa hadapan yang lebih baik.

Menurut Datuk Ismail, strategi-strategi di atas adalah selari dengan perancangan pembangunan sosial Iskandar Malaysia yang inklusif termasuk menangani kos sara hidup.

“Contohnya, inisiatif-inisiatif sosial seperti perancangan penambahbaikan pengangkutan awam dan kemudahan rangkaian hubungan, pembangunan penduduk dan kawasan luar bandar dan pekampungan dan pemerkasaan belia sudah berada di dalam agenda pembangunan Iskandar Malaysia.”

Selain daripada memastikan kesejahteraan Rakyat, fokus ketiga Belanjawan 2019 adalah mengenai memupuk budaya negara keusahawanan.

Inisiatif seperti dana keusahawan dan ekonomi digital yang diumumkan akan turut memberi kesan positif kepada agenda pembangunan usahawan dan ekonomi di Iskandar Malaysia, seperti peningkatan dalam peluang perkerjaan yang mana sehingga kini lebih 740,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan di wilayah ini.

Peruntukan RM50 juta untuk inisiatif Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional di dalam belanjawan ini akan meningkatkan peluang pekerjaan dan kebolehpasaran graduan bagi memenuhi keperluan industri di Iskandar Malaysia.

Esports, yang mendapat peruntukan sebanyak RM10 juta di dalam belanjawan ini, dan merupakan salah satu inisiatif yang diterajui oleh rakan-rakan strategik Iskandar Malaysia, adalah satu aktiviti yang semakin mendapat perhatian di wilayah ini.

Inovasi, seperti yang disebut di dalam Fasa 3 pembangunan Iskandar Malaysia, turut merangkumi ekonomi digital, yang merupakan faktor penting kerana ia secara langsung dan tidak langsung memberi impak kepada semua sektor ekonomi yang dipromosikan di rantau ini, seperti Sektor Pembuatan melalui Digital 4.0; Sektor Pelancongan melalui promosi maya dan pemasaran dalam talian; Sektor Kreatif melalui aplikasi dan platform digital, Perkhidmatan Kewangan dan Perniagaan melalui perkhidmatan penyumberan luar berasaskan digital dan sebagainya.

Tidak setakat fizikal, usaha bagi memperkukuh sistem rangkaian komunikasi membawa kepada peningkatan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi pada kos lebih rendah di Iskandar Malaysia dalam masa terdekat, melalui projek Infrastruktur Komunikasi Maklumat Bersepadu Iskandar Malaysia (IM3i). Ini adalah sejajar dengan komitment kerajaan, melalui Belanjawan 2019, untuk melaksanakan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan penguatkuasaan Standard Mandatory Mengenai Harga Capaian (MSAP) yang dijangka akan menurunkan harga jalur lebar talian tetap.

“Akhir sekali, inisiatif-inisiatif ‘hijau’ seperti peruntukan sebanyak RM60 juta untuk kawasan perlindungan hutan, geran mikro sebanyak RM5 juta untuk program pengurusan dan pemeliharaan alam sekitar serta Skim Pembiayaan Teknologi Hijau sebanyak RM2 bilion turut menggembirakan pihak Iskandar Malaysia memandangkan wilayah ini merupakan peneraju dalam agenda masyarakat rendah karbon yang diperakui diperingkat antarabangsa,” kata Datuk Ismail.

Share this post