KARNIVAL MINI MEDAN SELERA ISKANDAR MALAYSIA KETENGAHKAN PERNIAGAAN USAHAWAN KECIL DAN MAKANAN TEMPATAN

ISKANDAR MALAYSIA, 29 APRIL 2018, ISNIN: Karnival Mini yang dianjurkan di Medan Selera Iskandar Malaysia baru-baru ini adalah bertujuan untuk mempromosikan perniagaan usahawan kecil dan juga makanan tempatan, dan seterusnya menjadikan medan selera ini sebagai tempat tumpuan masyarakat tempatan untuk berkumpul.

“Medan Selera Iskandar Malaysia atau MSIM adalah sebuah projek di bawah program ‘Kawan Iskandar Malaysia’ (KIM) yang bertujuan untuk memberi peluang kepada usahawan kecil tempatan menjalankan perniagaan mereka di satu lokasi yang lebih terurus dan selesa untuk mereka dan para pelanggan. Projek ini adalah sejajar dengan agenda keterangkuman sosial Iskandar Malaysia yang mahukan Rakyat untuk sama-sama mendapat manfaat sejajar dengan pembangunan pesat di wilayah ini,” kata YBhg Datuk Ismail Ibrahim, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yang turut hadir ke acara itu.

Medan selera ini mampu menempatkan lebih daripada 200 orang pelanggan di dua aras dan menawarkan 25 ruang perniagaan yang pada masa ini menawarkan pelbagai makanan seperti yang bertemakan kambing, murtabak, nasi kukus, asam pedas, kari kepala ikan, kuih-muih, buah-buahan, coconut shake, kacang pol, ais kacang, minuman panas dan sejuk serta sebuah kedai cermin mata. Kemudahan seperti tandas, surau and WiFi juga ada disediakan.

Karnival mini ini telah dihadiri oleh lebih daripada 300 penduduk dari sekitar Gelang Patah. Antara aktiviti-aktivi yang dijalankan termasuklah demo masakan, demo mengawal kebakaran daripada Jabatan Bomba, demo permainan dron, taklimat penjagaan makanan, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan pertandingan menghias makanan selain daripada pelbagai gerai jualan.

Sepanjang bulan Ramadhan tahun ini, medan selera ini akan beroperasi mulai jam 4.30 petang hingga 10 malam dan akan dimeriahkan lagi dengan bazaar Ramadhan di bahagian tempat letak kereta, selain daripada gerai-gerai makanan yang sedia ada di dalam medan selera.

Sehingga kini, terdapat sejumlah projek di bawah program ‘Kawan Iskandar Malaysia’ yang telah berjaya menaiktarafkan hidup Rakyat di sekitar wilayah ini seperti produk eko-pelancongan di Kampung Sg Melayu, Kg Kong Kong dan Kg Gunung Pulai yang menawarkan aktiviti-aktiviti seperti inap desa, menyusuri sungai, menangkap ketam dan menjual makanan dan snek tempatan.

Datuk Ismail berharap agar karnival mini ini telah memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali Medan Selera Iskandar Malaysia dan sekaligus berharap agar lebih ramai lagi orang ramai akan datang ke sini untuk memberi sokongan kepada peniaga-peniaga kecil tempatan disamping menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman yang ditawarkan.

Share this post