MEDAN SELERA ISKANDAR MALAYSIA LAMBANG KOMITMEN KERAJAAN UNTUK RAKYAT

ISKANDAR MALAYSIA, AHAD, 6 JANUARI 2019: Medan Selera Iskandar Malaysia yang terletak di Gelang Patah, Iskandar Puteri telah dirasmikan pada hari ini oleh YAB Dato’ Osman Sapian, Menteri Besar Johor.

Medan selera yang telah mula beroperasi pada bulan Julai 2018 yang lalu menyediakan tempat berniaga yang selesa, bersih dan tersusun kepada peniaga kecil yang berada di sekitar Gelang Patah.

Dato’ Osman Sapian dalam ucapannya menyatakan bahawa antara matlamat pembangunan Iskandar Malaysia adalah untuk memastikan agar pengagihan kekayaan di bumi bertuah ini dapat dilakukan secara adil, saksama dan merata kepada seluruh anak negeri dan hasrat itu adalah bertepatan dengan Gerak Kerja Pelan Pembangunan Mampan Johor yang memberi penekanan kepada pengagihan kekayaan secara adil berpegang kepada teras kesaksamaan sosial.

Beliau juga menyatakan bahawa selain daripada menyediakan tempat yang sesuai dan selesa, salah satu objektif pembinaan Medan Selera Iskandar Malaysia ini adalah untuk meningkatkan pendapatan para peniaga tempatan. Setakat hari ini, peniaga-peniaga di Medan Selera Iskandar Malaysia telah meraih hasil jualan dengan anggaran antara Enam Ribu Ringgit Malaysia (RM6,000) sehingga Tujuh Ribu Lima Ratus Ringgit Malaysia (RM7,500) sebulan.

Beliau seterusnya menyarankan supaya lebih banyak lagi pusat perniagaan seperti ini dibuka diserata wilayah Iskandar. Inisiatif yang diterajui IRDA ini perlu diperluaskan lagi dengan penglibatan agensi seperti MARA, UDA dan TERAJU dengan kerjasama dan sokongan pihak berkuasa tempatan.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa penambahbaikkan ekonomi sosial seperti Medan Selera Iskandar Malaysia adalah sejajar dengan pertumbuhan pelaburan di Iskandar Malaysia yang merekodkan pelaburan komited sebanyak RM32.23 bilion sepanjang tahun 2018. Pada tahun yang sama, pelaburan sebanyak RM1.94 bilion telah datang daripada sektor pelancongan, RM940 juta daripada sektor pendidikan dan RM670 juta daripada sektor logistik.

Secara keseluruhannya dari tahun 2006 sehingga Disember 2018, Iskandar Malaysia telah mencatatkan pelaburan komited terkumpul sebanyak RM285.34 bilion, hasil daripada pelaburan domestik sebanyak RM177 bilion (62%) dan pelaburan asing sebanyak RM108 bilion (38%). Nilai pelaburan yang tinggi ini telah membawa manfaat kepada rakyat Johor dengan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak.

Ujar beliau lagi, bermula pada tahun 2019, lebih banyak penekanan akan diberikan kepada sektor logistik, pelancongan, kreatif dan perkhidmatan perniagaan dan kewangan sebagai salah satu strategi untuk membangunkan Iskandar Malaysia menjadi sebuah metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan mampan.

Datuk Ismail Ibrahim, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berkata pembinaan Medan Selera Iskandar Malaysia adalah salah satu usaha yang dilakukan bagi menterjemah manifestasi dan hasrat kerajaan dalam membantu kumpulan sasaran dalam kalangan masyarakat untuk meningkatkan daya keusahawanan dan pendapatan menerusi kemudahan disediakan bagi memperkasakan masyarakat secara keseluruhan.

“Projek pembangunan sosio ekonomi seperti ini banyak bertumpu kepada usaha-usaha mempertingkatkan kapasiti golongan berpendapatan rendah. Inisiatif ini telah mengambil kira kegiatan dan kekuatan aktiviti ekonomi setempat yang menambah nilai keperluan sektor-sektor ekonomi serta pembangunan di Iskandar Malaysia,” kata Datuk Ismail.

Projek Medan Selera Iskandar Malaysia adalah salah satu projek yang diluluskan oleh Jawatankuasa Kumpulan Wang Projek Sosial atau “Social Project Fund (SPF)” bagi menempatkan peniaga-peniaga kecil khususnya peniaga yang tiada tempat berniaga yang tetap.

Medan selera ini memberikan tempat berniaga yang lebih selesa dan diurus selia secara professional dengan pelbagai kemudahan kepada peniaga dan juga pengunjung. Antara kelebihan medan selera ini turut dilengkapi ciri-ciri keselamatan Sistem Televisyen Litar Tertutup (CCTV) bagi mengawasi premis dan kawasan sekitar untuk menjamin keselamatan peniaga dan pelanggan serta masyarakat setempat.

Elemen keselamatan diberikan perhatian kerana medan selera ini juga disasar sebagai antara tempat persinggahan wajib bagi setiap bas dan kenderaan yang membawa pelancong berkunjung ke kawasan Iskandar Puteri terutamanya.

Antara tarikan utama medan selera ini adalah variasi menu yang dijual seperti Nasi Ayam Kukus, Kambing Bakar, Kari Kepala Ikan, Murtabak, Mee Udang dan tidak ketinggalan makanan warisan Johor iaitu Nasi Beriani.

Selain itu, Medan Selera Iskandar Malaysia juga turut menekankan kaedah dan peningkatan cara peniaga berniaga mengikut standard dan disiplin tertentu supaya ianya lebih maju terutama dari aspek-aspek perkhidmatan, layanan pelanggan, penyediaan makanan, disiplin dan kebersihan.

Datuk Ismail juga menambah perkhidmatan penjagaan kebersihan bangunan, tandas dan kawasan awam yang kesemuanya dilakukan secara bersistematik, profesional dan berdisiplin akan menarik kedatangan pelancong berasaskan layanan dan servis perkhidmatan terbaik.

Share this post