Pembinaan Node 1, WPI dalam masa terdekat

Syarikat kewangan, Kuwait Finance House (Malaysia) Bhd. (KFH) hari ini mengumumkan bahawa kerja-kerja pembinaan tiga zon tema Node 1 di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dengan pelaburan awal mencecah RM1.2 bilion akan dimulakan dalam tempoh terdekat.

KFH dalam satu kenyataan berkata, Node 1 adalah projek bandar bersepadu berkeluasan 920 hektar di Nusajaya yang terletak antara jambatan kedua ke Singapura dan Pusat Pentadbiran Baru Negeri Johor (JSNAC)," kata KFH.

Katanya, Node 1 adalah projek bandar bersepadu pertama dalam WPI yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan wilayah koridor tersebut.

Menurut KFH, upacara pecah tanah di Node 1 telah dilakukan pada awal bulan ini, sementara pengumuman mengenai insentif dan pakej sokongan kerajaan telah dibuat pada tahun lalu.

"Rim City Sdn. Bhd. (RCSB), pemegang konsesi induk Node 1 dan Cultural Cluster Sdn. Bhd. (CCSB) secara bersama mengumumkan bahawa perjanjian definitif perlaksanaan projek itu telah dikuatkuasakan.

Menurut KFH, CCSB akan membangunkan sebuah Perkampungan Logistik, Taman Kreatif dan Daerah Warisan meliputi kawasan seluas 248 hektar dengan ruang binaan 5.02 juta meter persegi yang menawarkan banyak pilihan bagi hartanah kediaman dan komersial serta pembangunan bercampur bertaraf dunia.