Sembilan balai baru beroperasi di Johor

Sembilan balai polis baru beroperasi secara rasmi hari ini sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dan polis membanteras kegiatan jenayah di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, tujuh daripada balai baru yang dibuka itu ialah Balai Polis Taman Pelangi, Taman Perling, Kempas, Setia Indah, Mutiara (Johor Bahru), Pasir Putih (Pasir Gudang) dan Kelapa Sawit (Kulai).

‘‘Dua lagi adalah pondok polis yang dinaik taraf kepada balai polis iaitu di Taman Desa Cemerlang (Johor Bahru) dan Taman Universiti (Skudai),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Taman Pelangi di sini.

Balai Polis Taman Pelangi diketuai oleh Sarjan Md. Nasir Ahmad dan boleh dihubungi di talian 07-3357122.

Mohd. Mokhtar berkata, pada masa ini lapan anggota yang diketuai pegawai berpangkat Sarjan ditugaskan di setiap balai tersebut dan jumlah anggota akan ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

Katanya, langkah menambah balai polis di negeri ini dapat membantu pihak polis memastikan keselamatan orang ramai dan mewujudkan suasana yang kondusif untuk pelabur di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).