Pembangunan Node 1 bermula tidak lama lagi

PEMBANGUNAN prasarana tiga zon tema dikenali sebagai Node 1 dengan nilai pelaburan RM1.2 bilion di bandar raya bersepadu antarabangsa pertama di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), akan dimulakan tidak lama lagi.

Rim City Sdn Bhd (RCSB), pemegang konsesi induk Node 1 dan Cultural Cluster Sdn Bhd (CCSB) secara bersama mengumumkan perjanjian definitif bagi tujuan pembangunan terbabit telah dikuatkuasakan.

RCSB ialah anak syarikat South Johor Investment Corporation Bhd (SJIC) manakala CCSB adalah syarikat tujuan khas yang dimiliki secara majoriti Al-Nibras 2 Ltd, syarikat dana swasta berpangkalan di Labuan yang diuruskan Kuwait Finance House (Labuan) Bhd, yang juga syarikat milik penuh Kuwait Finance House (M) Bhd.

Dalam kenyataan semalam, RCSB menyatakan pembangunan Node 1 itu akan menjadi pemangkin bagi pembangunan bandar raya bersepadu berkenaan.

Projek tiga zon tema itu akan dibangunkan di tapak seluas 920 hektar di Nusajaya, yang terletak di antara jambatan kedua menghubungkan Pusat Pentadbiran Baru Kerajaan Negeri Johor (JSNAC) dan Singapura.

Pembangunan bertaraf dunia itu menawarkan tanda aras baru global bagi sebuah projek pembangunan, kerja dan komuniti rekreasi, selari dengan nilai terasnya untuk mewujudkan gaya hidup lengkap bagi usahawan dan profesional.