Harrington, Montgomerie penyeri IJO

KEJOHANAN Golf Terbuka Iskandar Johor (IJO) 2010 akan diserikan dengan penampilan sulung juara Terbuka British dua kali, Padraig Harrington dan kapten pasukan Piala Rider Eropah 2010, Colin Montgomerie.

Penyandang juara, K.J. Choi dari Korea Selatan turut beraksi bagi mempertahankan gelarannya pada kejohanan edisi keempat itu yang menawarkan hadiah sebanyak AS$1.25 juta berbanding AS$1 juta tahun lalu.

Kejohanan dari 14 hingga 17 Oktober depan itu bakal menjanjikan pertembungan sengit selepas juara edisi 2008, Retief Goosen turut mengesahkan penyertaan.

Harrington, 39, sudah tidak asing di kalangan peminat tempatan berikutan penyertaannya dalam Kejohanan Terbuka Malaysia sejak beberapa tahun lalu.

“IJO tahun ini menyaksikan persaingan yang lebih kompetitif dengan penyertaan lebih ramai pemain profesional bertaraf dunia termasuk penampilan sulung Harrington dan Montgomerie.

“Saya juga berbesar hati apabila kejohanan ini bertukar ke lokasi baru di Horizon Hills Golf & Country Club yang pasti menjanjikan cabaran tersendiri,” katanya Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur IJO, Datuk Abdul Ghani Othman pada sidang akhbar di Nusajaya, Johor semalam.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar (IRDA), Ismail Ibrahim; Pengerusi Eksekutif Jelajah Asia, Kyi Hla Han; Pengurus Besar Horizon Hills Golf & Country Club, Tang Meng Loon dan Naib Presiden IMG Golf Devision, Grant Slack.

Sementara itu, Hla Han berkata, sejak penganjuran edisi 2007, IJO telah berkembang menjadi satu kejohanan hebat dalam Jelajah Asia.

“Ini merupakan berita baik apabila IRDA menyambung penajaan untuk tempoh lima tahun yang mana ia mengukuh kedudukan IJO untuk menjadi acara terbesar di Asia,” katanya.