Harrington, Montgomerie hangatkan lagi IJO 2010

Kejohanan Golf Terbuka Iskandar Johor (IJO) tahun ini bakal menjanjikan saingan sengit apabila juara tiga kali kejohanan utama, Padraig Harrington dan kapten pasukan Piala Rider Eropah 2010, Colin Montgomerie mengesahkan penyertaan sulung mereka.

Terdahulu, penyandang juara K.J. Choi dari Korea Selatan mengesahkan penyertaan bagi mempertahankan gelaran pada kejohanan yang menawarkan hadiah AS$$1.25 juta itu.

Kejohanan yang berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober ini menjanjikan pertembungan menarik selepas juara edisi 2008, Retief Goosen turut mengesahkan penyertaan dalam kejohanan yang sentiasa dinantikan peminat sukan itu.

Harrington, 39, pemain ranking ke-18 dunia sudah tidak asing bagi peminat di negara ini kerana sebelum ini pernah menyertai beberapa Kejohanan Terbuka Malaysia sejak beberapa tahun lalu.

Dia yang pernah memenangi Terbuka British pada 2007 dan 2008 selain Kejohanan PGA di Oakland Hills pada 2008 yang menobatkannya sebagai pemain Eropah pertama memenangi Trofi Wanamaker sejak Tommy Amour dari Scotland memenanginya pada 1930.

Pada masa sama, pemain Scotland, Montgomerie, 37, merupakan antara pemain yang berjaya dengan memiliki 31 kejuaraan Jelajah Eropah.

“IJO tahun ini menyaksikan persaingan lebih kompetitif dengan penyertaan lebih ramai pemain profesional bertaraf dunia termasuk penampilan sulung Harrington dan Montgomerie.

“Kejohanan edisi keempat pada tahun ini juga bertukar ke lokasi baru di Horizon Hills Golf & Country Club yang pasti menjanjikan cabaran tersendiri,” kata Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi jawatankuasa penganjur IJO, Datuk Abdul Ghani Othman pada sidang akhbar di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar (IRDA), Ismail Ibrahim; Pengerusi Eksekutif Jelajah Asian, Kyi Hla Han; Pengurus Besar Horizon Hills Golf & Country Club, Tang Meng Loon dan Naib Presiden IMG Golf Division, Grant Slack.