Johor: 12 Bas Ekspres Transit mula operasi di Iskandar

Laluan sulung Kulai-Johor Bahru menjelang Jun 2011

Sebanyak 12 Bas Ekspres Transit (BET) dijangka mula beroperasi di Iskandar Malaysia, khususnya mengikuti laluan Kulai-Johor Bahru, menjelang Jun tahun depan.

Pengurus Projek Pasukan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (PAIM), Mohd Gaddafie Abd Aziz berkata, empat laluan sudah dicadangkan untuk projek BET, iaitu Kulai-Johor Bahru, Ulu Tiram-Johor Bahru, Pasir Gudang-Johor Bahru dan Kempas-Johor Bahru.

Katanya, laluan Kulai-Johor Bahru dijangka menjadi laluan sulung projek terbabit, menerusi jalinan kerjasama antara PAIM dengan sebuah syarikat pengusaha bas, yang sudah menyatakan persetujuan melaburkan lebih RM4 juta bagi projek berkenaan.

“Katanya, tiga laluan lagi pula masih dalam peringkat kajian termasuk mengkaji potensi jumlah pengguna BET, selaras memastikan mendapat sambutan penumpang kelak.

“Pada peringkat awal, kita menjangka memperkenalkan 12 BET bagi operasi di laluan Kulai-Johor Bahru menjelang Jun tahun depan.

“Berbeza dengan bas awam yang kebiasaannya mempunyai lebih 30 perhentian, BET hanya akan melakukan antara tiga hingga lima hentian membabitkan jangkamasa perjalanan selama 15 minit untuk tiba ke destinasi, ” katanya.
Beliau berkata demikian pada Kempen Keselamatan Jalan Raya Bas Iskandar Malaysia dilancarkan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Mohd Rosli Ramli, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kempas, di sini. Hadir sama, Pengetua sekolah, Buni Sunade.

Menerusi kempen bertemakan Khidmat Mesra, Komuniti Selesa, itu 200 pelajar sekolah berkenaan termasuk 20 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kempas diberi kesedaran dan taklimat oleh Mohd Rosli mengenai keselamatan jalan raya terutama ketika menunggu, menaiki dan menuruni bas.

Kempen itu bertujuan memantapkan lagi kesedaran di kalangan masyarakat terutama pelajar sekolah mengenai isu keselamatan dan vandalisma ketika menggunakan kemudahan bas awam.

Mohd Rosli berkata, pelajar menjadi tumpuan kempen kerana di awal peringkat umur, mereka sesuai diberikan pendedahan supaya beradab ketika berada dalam bas.

Program itu, dianjurkan bersama oleh PAIM, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Jabatan Pelajaran Johor, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, JPJ, syarikat bas dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah terbabit.

Kempen itu antara 12 kempen keselamatan yang diadakan di sekolah terpilih di Iskandar Malaysia tahun ini.