Bio-Xcell pikat pelaburan syarikat global RM1 bilion

TAMAN bioteknologi Bio-Xcell di Nusajaya, Johor yang diuruskan Malaysian Bio-Xcell Sdn Bhd akan menerima dua lagi pelaburan daripada syarikat bioteknologi global, menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan yang bakal diterimanya menjelang akhir tahun ini kepada kira-kira RM1 bilion.
 
Ketua Eksekutif Malaysia Bio-Xcell, Raja Ridzwa Aziz, berkata setakat ini, tiga syarikat bioteknologi global masing-masing dari India, Amerika Syarikat dan Perancis menyatakan komitmen pelaburan bernilai RM750 juta di taman teknologi itu.
 
“Kami menjangkakan menerima satu atau dua lagi pelaburan baru sebelum akhir tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan bakal diterima taman bioteknologi itu kepada kira-kira RM1 bilion,” katanya pada sidang media sempena persidangan bioteknologi, Bio Malaysia 2010 di Kuala Lumpur, semalam.

Raja Ridzwa berkata, kemudahan bertaraf dunia yang ada di Bio-Xcell menjadi antara tarikan kepada syarikat bioteknologi asing memilih untuk membina loji kemudahan pengeluaran mereka.

“Bio-Xcell adalah seperti Cyberjaya yang menerima kehadiran syarikat teknologi maklumat dan komunikasi, tetapi kami menumpukan kepada syarikat berkaitan bioteknologi,” katanya.

Tiga syarikat yang menyatakan komitmen pelaburan di Bio-Xcell ialah firma bioteknologi India, Biocon Ltd; syarikat bioteknologi berpangkalan di Houston, Texas, AS, Glycos Biotechnology Inc dan Metabolic Explorer S.A. (Metex) dari Perancis.
Glycos dan Metex memeterai memorandum persefahaman dengan Bio-Xcell bagi mendirikan kemudahan pengeluaran di taman bioteknologi seluas 60 hektar itu, semalam.

Majlis pertukaran dokumen perjanjian itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada majlis perasmian persidangan Bio Malaysia 2010.

Sementara itu, pada sidang media sama, Ketua Eksekutif Glycos, Richard Cilento, berkata firma itu merancang melabur kira-kira AS$15 juta (RM46.5 juta) di Bio-Xcell.

“Loji biokimia dan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kami dijangka mula beroperasi pada 2012,” katanya.

Cilento berkata, firma itu memilih melabur di Malaysia kerana loji itu akan menumpukan kepada pengeluaran produk ‘isoprene’ yang digunakan dalam pengeluaran sarung tangan getah.

Share this post