Iskandar Malaysia terima RM939j

Iskandar Malaysia menerima peruntukan RM939 juta dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk pembinaan projek infrastrukturnya.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, ia melibatkan 12 projek merangkumi pembinaan jalan raya, perumahan awam, pembersihan sungai dan saliran serta membaiki pengangkutan awam.

“Pembinaan perumahan diperuntukkan RM30 juta, Kulai Interchange (RM23 juta), memperbaiki sistem pengangkutan awam (RM4 juta) dan saliran bagi pusat bandar (RM5 juta).

“Peruntukan itu termasuk pembersihan sungai melibatkan penempatan semula penduduk di Sungai Tebrau dengan kos RM100 juta,” katanya pada sesi penggulungan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr. Boo Cheng Hau (DAP-Skudai) yang menanyakan projek pembangunan yang dilakukan melalui peruntukkan RM939 juta itu.

Abdul Ghani berkata, Lebuh Raya Skudai-Senai akan dinaik taraf dengan kos RM4 juta, Lebuh Raya Johor Bahru-Nusajaya (RM70 juta) dan Jalan Skudai serta Jalan Abu Bakar (RM50 juta).

Menurutnya, dana itu juga diguna untuk membina persimpangan bertingkat di Jalan Lingkaran dan persimpangan di Jalan Yahya Awal serta Jalan Abu Bakar yang menelan kos RM40 juta.

“Persimpangan bertingkat di Bandar Ulu Tiram juga dilakukan dengan kos RM7 juta manakala kerja menaik taraf penjajaran dan Jalan Kolam Air adalah melibatkan kos RM1.5 juta,” katanya.

Dana selebihnya, kata Abdul Ghani, diperuntukkan untuk rancangan pembangunan lain yang dilakukan secara menyeluruh.

Abdul Ghani berkata, peruntukan awal yang diterima untuk tahun depan ialah RM339 juta tetapi ditambah lagi sebanyak RM600 juta.