Iskandar Malaysia terima peruntukan tambahan RM700 juta

Iskandar Malaysia menerima peruntukan tambahan sebanyak RM700 juta untuk membangunkan pelbagai infrastruktur di koridor pembangunan berkenaan dalam tempoh dua tahun ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata peruntukan itu diluluskan menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Pembangunan Iskandar (IRDA) yang pengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku Pengerusi Bersama IRDA, semalam.

“Sebanyak RM339 juta telah diperuntukkan untuk dua tahun terdekat ini menerusi Bajet 2011 dan semalam Perdana Menteri bersetuju untuk menambah sebanyak RM700 juta lagi kepada Iskandar Malaysia,” katanya.

Berucap merasmikan program pelancongan Kota Iskandar dan Galeri Siar Jauhar, Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini, Abdul Ghani yang juga Pengerusi Bersama IRDA melahirkan keyakinan bahawa peruntukan itu membolehkan semua pembangunan yang dirancangkan siap mengikut jadual.

“Peruntukan tersebut membolehkan projek-projek dapat disempurnakan sehingga tahun 2012, yang merupakan tahun membawa perubahan amat mendadak di mana taman tema Legoland akan mula beroperasi dengan dianggarkan menerima sejuta pelawat manakala Universiti New Castle beroperasi akhir tahun depan,” katanya.