RM339 juta laksana pembangunan infrastruktur Iskandar Malaysia

SEJUMLAH RM339 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan pembangunan infrastruktur Iskandar Malaysia di bawah pemudahcaraan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) bagi semua projek di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) bagi dua tahun pertama dinyatakan dalam bajet persekutuan 2011.

Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, berkata kesemua projek yang terdapat di bawah peruntukan terbabit merangkumi projek jalan raya, sungai dan saliran, perumahan awam, pengangkutan awam serta kajian rancangan pembangunan.

Katanya, daripada jumlah peruntukan berkenaan, sebanyak RM100 juga bagi projek pembersihan sungai membabitkan penempatan semula penduduk di Sungai Tebrau, RM70 juta bagi projek Lebuh raya Pesisir Pantai dari Johor Bahru ke Nusajaya, RM50 bagi projek menaik taraf Jalan Skudai dan Jalan Sultan Abu Bakar serta RM40 juta bagi projek membina persimpangan bertingkat Jalan Lingkaran Dalam Johor Bahru persimpangan Yahya Awal dan Jalan Abu Bakar.

“Peruntukan lain adalah projek perumahan awam (RM30 juta), dan persimpangan bertingkat Kulai (RM23 juta), membina persimpangan bertingkat di bandar Ulu Tiram (RM7 juta), kajian lanjutan Iskandar Malaysia (Rancangan Pembangunan Komprehensif) (RM5 juta) dan saliran bagi pusat bandar (RM5 juta).

“Selain itu, sebanyak RM4 juta diperuntukkan bagi projek menaik taraf Lebuh raya Skudai-Senai, RM3.8 juta bagi memperbaiki sistem pengangkutan awam dan RM1.5 juta bagi menaik taraf dan penjajaran Jalan Kolam Air,” katanya menjawab isu dibangkitkan Dr Boo Cheng Hau (DAP-Skudai) ketika menggulung perbahasan Bajet 2011 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Menjawab persoalan Dr Boo mengenai harga RM26.9 bilion pelaburan di Iskandar Malaysia dicapai setakat ini berbanding RM62 bilion yang pernah disasarkan, Abdul Ghani berkata, pelaburan sebanyak RM62 bilion yang disasarkan sehingga Jun tahun ini berkenaan adalah pelabuhan komited bagi projek dalam sektor pembuatan yang diluluskan pihak Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

Katanya, selain itu, ia juga merangkumi projek yang diumumkan oleh pihak swasta dalam bidang pelancongan, pendidikan, kesihatan, logistik, petrokimia dan sebagainya.

“Jumlah berkenaan tidak terhad kepada pelaburan langsung asing (FDI) saja dan pelaburan RM26.9 bilion adalah pelaburan yang dibelanjakan di Iskandar Malaysia sehingga kini iaitu sesebuah projek di luluskan atau dilancarkan akan mengambil masa dua tahun hingga tiga tahun bagi kerja perancangan, pembinaan bangunan dan kemudahan.

“Justeru, pelaburan sebanyak RM26.9 bilion atau 41 peratus adalah mengikut jadual pelaksanaan projek dan IRDA bersama agensi kerajaan di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan terus bekerjasama dalam memudah cara pelaburan di Iskandar Malaysia bagi mempertingkatkan dan mempercepatkan lagi kadar pelaburan yang dibelanjakan,” katanya.