ISKANDAR MALAYSIA CATAT PELABURAN TERKUMPUL SEBANYAK RM128.21 BILION

ISKANDAR MALAYSIA, ISNIN, 21 OKTOBER 2013: ISKANDAR MALAYSIA mencatatkan pelaburan komited terkumpul berjumlah RM128.21 bilion sejak tahun 2006 sehingga 30 September 2013.

Ini termasuk pelaburan baru sebanyak RM9.28 bilion pada suku ketiga tahun 2013, iaitu peningkatan RM1.7 bilion berbanding RM7.56 bilion pada suku kedua.

Daripada jumlah pelaburan komited terkumpul tersebut, RM55.81 bilion atau 44% merupakan pelaburan yang telah direalisasikan.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelabur tempatan dan asing  menunjukkan minat yang berterusan dalam pembangunan wilayah Iskandar Malaysia.

"Kami sentiasa berusaha menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor-sektor ekonomi di sini untuk memastikan kualiti hidup rakyat di ISKANDAR MALAYSIA meningkat dan terpelihara," kata Datuk Seri Mohamed Khaled, yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

“Antara perkembangan terbaru dalam sektor pelancongan di ISKANDAR MALAYSIA ialah pembukaan taman tema air di LEGOLAND Malaysia, iaitu satu lagi pusat rekreasi untuk keluarga.”

Sehingga 30 September 2013 pelabur tempatan menyumbang RM83.40 bilion (65%) daripada pelaburan komited terkumpul manakala baki RM44.81 bilion (35%) disumbangkan oleh pelabur asing.

Lima negara yang mencatatkan pelaburan tertinggi di ISKANDAR MALAYSIA dari adalah Singapura, Sepanyol, Jepun, Amerika Syarikat dan Belanda. Sektor pembuatan mencatatkan pelaburan komited terkumpul tertinggi sebanyak RM45.68 bilion, merangkumi pelaburan dalam sektor Elektrik dan Elektronik, Petrokimia dan Oleo-kimia dan Pemprosesan Makanan dan Hasil Tani.

Ini diikuti oleh sektor Logistik (RM4.81 bilion), Pelancongan (RM2.50 bilion), Penjagaan Kesihatan (RM2.59 bilion), Pendidikan (RM1.56 bilion), Perkhidmatan Kewangan (RM0.6 bilion) dan Industri Kreatif (RM0.4 bilion).

Pembangunan Hartanah adalah antara sektor lain yang menyokong pertumbuhan ISKANDAR MALAYSIA di mana segmen perumahan, runcit dan industri secara kolektif menyumbang pelaburan terkumpul RM48.09 bilion pada 30 Jun 2013 diikuti dengan Utiliti (RM12.64 bilion), Pelaburan Kerajaan terutamanya dalam Infrastruktur dan Kerja-kerja awam (RM8.31 bilion) dan Teknologi Baru (RM1.03 bilion).  

Ketua Eksekutif IRDA Datuk Ismail Ibrahim berkata IRDA akan terus bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan aliran masuk pelaburan yang mampan ke ISKANDAR MALAYSIA.  

" Pelaburan-pelaburan ini bukan sahaja perlu memberi nilai, tetapi juga merangsang ekonomi tempatan dan mencipta kesan limpahan untuk masyarakat tempatan melalui peluang pekerjaan dan perniagaan.

"Kita juga menyeru tenaga-tenaga kerja tempatan untuk melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan dan dituntut oleh industri-industri di ISKANDAR MALAYSIA. IRDA akan membantu melalui pelbagai program dan inisiatif latihan," tambah Datuk Ismail.

-TAMAT-

 

 

Latar Belakang IRDA

 

Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) adalah badan berkanun yang diberi mandat untuk merancang, mempromosi dan menjadi pemudahcara kepada pembangunan di ISKANDAR MALAYSIA. IRDA turut bertanggungjawab merealisasikan wawasan dan objektif ISKANDAR MALAYSIA menjadi sebuah metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan lestari.

 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

•       Ms Marsha Tan @ 07 233 3141

•       Ms Izyan Ahmad @ 07 233 3125

Nota: Statistik pelaburan dilampirkan bagi rujukan pihak yang berkenaan.