PROGRAM ‘ISKANDAR MALAYSIA ECOLIFE CHALLENGE 2019’ BERJAYA JIMATKAN DAN JANA PENDAPATAN RM158,194.00 MELALUI PENJIMATAN AIR DAN ELEKTRIK DAN AKTIVITI KITAR SEMULA

ISKANDAR MALAYSIA, 12 November 2019 – Program ‘Iskandar Malaysia Ecolife Challenge 2019’ (IMELC) berjaya merekodkan RM116,092.00 melalui usaha penjimatan air dan elektrik dan penjanaan pendapatan sebanyak RM42,102.00 untuk aktiviti kitar semula melalui penglibatan lebih 47,000 pelajar dari 475 sekolah rendah di seluruh Johor.

“Saya gembira melihat pencapaian program IMELC 2019 yang telah berjaya menyokong dan menaikkan nama negeri Johor sebagai sebuah negeri yang telah pun mengguna pakai inisiatif masyarakat rendah karbon. Penjimatan dan pendapatan yang telah dijana melalui program ini telah secara langsung menyumbang kepada usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon di negeri ini. Secara keseluruhan, sebanyak 908,402.00 kilogram karbon dioksida telah berjaya dikurangkan melalui program ini,” kata Yang Berhormat Tuan Tan Chen Choon, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Negeri Johor di acara pertandingan akhir IMELC 2019 di AEON Mall Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru, tengah hari ini.

IMELC, yang menggalakkan para pelajar, guru, keluarga dan komuniti setempat untuk bekerjasama dalam menjimatkan penggunaan air dan eletrik dan melaksanakan aktiviti kitar semula, telah berjaya merekodkan sebanyak RM18,953.00 melalui penjimatan air dan RM97,139.69 dalam penjimatan elektrik. Manakala, sejumlah RM42,102.00 pendapatan telah dijana melalui aktiviti kitar semula yang turut menyaksikan penglibatan pihak SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) dalam mengendalikan proses pengumpulan sebanyak 185 tan barangan kitar semula secara keseluruhannya.

Sejak dimulakan 7 tahun yang lalu, IMELC telah berjaya mencatatkan peningkatan penglibatan pelajar sekolah daripada 3,790 orang dan 23 sekolah kepada lebih 47,000 pelajar dan 475 sekolah pada tahun ini.
Pada pertandingan peringkat akhir IMELC 2019, sebanyak 16 buah sekolah telah terpilih untuk mempersembahkan inisiatif rendah karbon disekolah mereka dan bertandingan dalam cabaran-cabaran yang menguji pengetahuan mengenai rendah karbon. Sekolah-sekolah ini terpilih kerana telah melengkapkan dan menghantar buku IMELC 2019, serta merekodkan jumlah penjimatan air dan elektrik dan kutipan kitar semula tertinggi.

“Menjelang tahun 2020, yang merupakan ‘Tahun Melawat Johor’, pihak MBJB komited menjadikan bandaraya Johor Bahru sebagai bandar rendah karbon selaras dengan visi MBJB ke arah ‘Bandaraya Antarabangsa, Berbudaya dan Lestari’. Ini telah diterjemahkan melalui inisiatif rendah karbon yang telah dilaksanakan oleh pihak Majlis, agensi kerajaan, agensi swasta dan pelbagai pihak sebagaimana 247 program yang telah digariskan di dalam Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon MBJB 2025. Untuk makluman, sehingga 31 Disember 2019, sebanyak 189 program (76.51%) telah berjaya dilaksanakan dan dijangka sebelum tahun 2025, kesemua program dapat dilaksanakan dengan jayanya.”

“Pihak Majlis sentiasa menyokong program ini dan bersedia menjalinkan kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan dalam usaha menjalankan program IMELC pada masa masa akan datang,” YB Dato’ Hj. Amran Bin A. Rahman, Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Jelas Yang Berbahagia Datuk Ismail Ibrahim, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), “Mengambil iktibar daripada kejayaan pembangunan Iskandar Malaysia melalui kolaborasi dengan pelbagai pemegang taruh daripada sektor kerajaan, komersil dan komuniti, program IMELC ini turut mencatat kejayaan dari tahun ke tahun hasil daripada kerjasama dengan pemegang taruh seperti Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Universiti Teknologi Malaysia dan SWM Environment di samping mendapat sokongan daripada SEDA Malaysia menerusi projek Green Technology Applications for Low Carbon Cities, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan AEON Mall Bandar Dato’ Onn khusus untuk tahun ini.”

Sementara itu, SWM Environment yang merupakan rakan strategik IRDA pula menyifatkan program IMELC sebagai saluran pendidikan kesedaran kitar semula efektif dalam kalangan murid-murid sekolah rendah. Penglibatan SWM Environment yang memasuki tahun ketiga telah menyaksikan kerjasama strategik dimeterai menerusi penajaan hadiah bagi kategori aktiviti kitar semula, penjimatan air dan utiliti serta penglibatan dalam aktiviti kitar semula.

“Pihak SWM Environment amat berbesar hati untuk menjayakan program IMELC yang sekali gus menterjemah agenda Masyarakat Rendah Karbon dan memenuhi kehendak Matlamat Pembangunan Lestari (SDG30) sebagaimana ditekankan oleh Kerajaan Negeri Johor. Kami berbangga kerana terlibat secara langsung dalam aktiviti kitar semula yang telah dimenangi oleh SJK(C) Masai, SJKC (C) Foon Yew 2 dan SJK(C) Tuan Poon,” kata Tuan Haji Mohd Norlisam Mohd Nordin, Pengurus Besar Korporat SWM Environment. IMELC merupakan program yang menyumbang kepada pengurangan karbon, pendidikan pembangunan lestari (ESD) dan matlamat pembangunan lestari (SDG).

Pada tahun 2017, IMELC disenaraikan dalam buku yang berjudul “Rising to the Challenge: Malaysia’s contribution to the SDGs” yang mana buku ini merekodkan 61 program SDG dalam Malaysia. Pada 2018, IMELC juga telah memenangi “Global Prize of Okayama ESD Award” sebagai pengiktirafan kepada program pendidikan pembangunan lestari (ESD) yang berjaya di peringkat global. Terdahulu, IMELC juga pernah dinobatkan sebagai Outstanding Flagship Project kategori Climate Change oleh United Nations University semasa Global RCE Award 2015.

Di peringkat nasional, Malaysia telah membuat komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon sehingga 45 peratus menjelang 2030 berbanding paras pelepasan karbon pada tahun 2005 pada Sidang Kemuncak Perubahan Iklim 2009 Copenhagen, Denmark atau Conference of Parties 15 (COP 15).

Menurut YB Tuan Tan Chen Choon, yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Masyarakat Rendah Karbon Johor, sehubungan dengan itu Johor dan Iskandar Malaysia, khususnya, telah menyahut komitmen tersebut dan bertindak selaku pelapor utama pembangunan rendah karbon di Malaysia. Iskandar Malaysia telah pun menyediakan dan melaksanakan Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon 2025 atau dikenali sebagai ‘Low Carbon Society Blueprint for Iskandar Malaysia 2025’ sejak dari tahun 2012 lagi.

Iskandar Malaysia terus menggerakkan program tersebut bagi menyokong aspirasi kerajaan pusat dan komitmen global untuk menurunkan Gas Rumah Kaca (GHG). Setakat ini sebanyak 60 program telah siap dilaksanakan dengan 214 lagi sedang dilaksanakan. Kajian Inventori Gas Rumah Kaca (GHG) di Iskandar Malaysia pada tahun 2017 pada menunjukkan penurunan sebanyak 13 peratus intensiti karbon.

Majlis tersebut juga dihadiri oleh rakan-rakan strategik dan sokongan IMELC termasuk En. Abdul Malik Bin Haji Ismail, Setiausaha, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB); En. Boyd Joeman, Naib Presiden Kanan (Ketua), Alam Sekitar, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA); Prof. Dr. Ho Chin Siong, Pengarah, Univesiti Teknologi Malaysia (UTM) Low Carbon Asia Research Centre; En. Kamarudin Bin Abu, Ketua Penolong Pengarah Kanan TVET, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ);x); Dr. Uzir Abdul Malik, Pengarah Eksekutif, SWM Environment; Ir. Dr. Sanjayan Velautham, Ketua Pegawai Eksekutif, Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia; En. Badlishah Bin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor dan Encik Nasrullah Bin Abdul Mutalib, Pengurus Besar, AEON Mall Bandar Dato’ Onn.

.TAMAT.

Share this post