PROGRAM ‘ISKANDAR MALAYSIA WOMEN ENTREPRENEURSHIP SUMMIT’ MEMPERKASA USAHAWAN WANITA MELALUI INOVASI DAN DIGITAL

ISKANDAR MALAYSIA, 29 OKTOBER 2018, ISNIN –  Seiring dengan konsep bandar pintar dan penerapan teknologi, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) telah menganjurkan Program ‘Iskandar Malaysia Women Entrepreneurship Summit’ bertemakan ‘Keusahawanan Digital’ untuk memberi inspirasi kepada golongan usahawan wanita di wilayah ini agar tidak ketinggalan dalam arus digital yang akan membantu perniagaan mereka untuk lebih berkembang.

Program ini telah dihadiri dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Cik Liow Cai Tung, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Negeri Johor.

Datuk Ismail Ibrahim, Ketua Eksekutif IRDA berkata bahawa selari dengan hasrat kerajaan untuk terus memperkukuh pertumbuhan ekonomi melalui inovasi dan teknologi, program ini bertujuan untuk menggalakkan wanita menceburi bidang ekonomi berteraskan digital yang dilihat mampu mempercepatkan proses, memudahkan urusniaga, menjimatkan kos perniagaan dan memaksimumkan keuntungan.

Beliau menyatakan sedemikian melalui teks ucapan yang dibacakan oleh wakil rasmi beliau, Puan Hanizah Muhammad, Ketua Bahagian Audit Dalaman IRDA.

Menurut Datuk Ismail, golongan wanita memainkan peranan yang begitu penting khususnya dalam pembangunan ekonomi dan sosial di Iskandar Malaysia. Justeru, pelbagai usaha telah dan akan terus dilaksanakan bagi memperkasa usahawan wanita dan juga melahirkan lebih ramai lagi usahawan wanita di wilayah ini.

Program ini juga adalah sejajar dengan konsep keterangkuman sosial yang menjadi salah satu agenda utama dalam pembangunan Iskandar Malaysia ke arah sebuah metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan mampan. Ini adalah untuk memastikan agar semua golongan individu dan komuniti turut menerima manfaat dan limpahan dari pembangunan ekonomi dan fizikal wilayah ini.

Program yang berlangsung selama sehari ini dihadiri seramai 250 orang usahawan wanita dan mereka telah diberikan taklimat dan mendapatkan maklumat melalui pameran agensi-agensi kerajaan seperti Bank SME, Bank Agro, dan TEKUN yang berkongsi informasi kepada usahawan-usahawan mengenai inisiatif dan penawaran mereka terkini.

Share this post