Rm42 Juta Suntikan Dana Bagi Pembangunan Usahawan Dan Modal Insan Di Iskandar Malaysia

RM35 juta peruntukan baru melalui program IMProF dan Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera

ISKANDAR MALAYSIA, RABU, 7 JUN 2017: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) hari ini mengumumkan suntikan dana sejumlah RM42 juta bagi pembangunan usahawan dan modal insan di Iskandar Malaysia.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM35 juta adalah peruntukan baru – RM20 juta bagi program Iskandar Malaysia Professional Fund (IMPRoF) dan RM15 juta di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB).

YBhg. Datuk Ismail Ibrahim, Ketua Eksekutif IRDA hari ini melancarkan program IMProF dan dan modal insan di wilayah ini iaitu Program Usahawan Dinamik Iskandar Malaysia (IMProUD), sebuah program di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera ini.

Turut hadir di majlis pelancaran ini adalah YAD Datin Rosni Omar, Yang Dipertua Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Johor (JUITA); YBhg Dato’ Abdul Halim Muhamad Salleh, Ketua Eksekutif, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK); Encik Megat Mohd Yatim Megat Hamid, Pengarah Kanan Keusahawanan dan Pembangunan Perniagaan, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU); dan Tuan Haji Ahmad Zaini Sofian, Pengarah, Perhubungan Perniagaan, RHB Islamic Bank.

Bantuan dana diperuntukkan bagi usahawan dan modal insan di Iskandar Malaysia membantu mengukuhkan lagi perniagaan industri kecil dan sederhana dalam pelbagai sektor yang digalakkan di wilayah ini.

Datuk Ismail Ibrahim berkata bantuan dana dan pembiayaan ini adalah hasil kerjasama antara IRDA, TERAJU, PTPK dan RHB Islamic akan menjadi lonjakan kepada usahawan serta modal insan yang terpilih.

“Penerima dana dan pembiayaan ini merangkumi pelbagai segmen komuniti perniagaan dari Industri Kecil dan Sederhana sehinggalah kepada golongan B40 atau individu yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM3,800 sebulan dan pelbagai jenis perniagaan untuk memastikan bahawa semua orang berpeluang untuk mendapat sokongan dan lonjakan kepada perniagaan mereka.

“Selain dana untuk usahawan, pembangunan modal insan juga diberi perhatian melalui peruntukan daripada PTPK bagi meningkatkan kemahiran dan pekerja profesional di wilayah ini,” kata Datuk Ismail.

Iskandar Malaysia Professional Fund (IMProF)

Iskandar Malaysia Professional Fund (IMProF) merupakan dana berjumlah RM20 juta daripada Tabung Perbadanan Pembangunan Kemahiran kepada Iskandar Malaysia yang mensasarkan untuk meningkatkan pekerja berkemahiran dan profesional di Iskandar Malaysia.

Para pekerja diberi peluang untuk meningkatkan kelayakan masing-masing melalui latihan peningkatan kemahiran atau latihan kemahiran baru bagi mendapatkan sijil berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka. Dana pinjaman yang diberikan kepada pekerja adalah RM1,000 sehingga RM24,000.

Datuk Ismail menambah bahawa latihan peningkatan kemahiran akan memberi peluang kepada mereka yang mahu mendapatkan pensijilan professional yang membantu memajukan kerjaya mereka.

Permohonan adalah terbuka kepada semua individu dan institusi yang berminat. Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi pihak IRDA melalui emel kepada IMProF@irda.com.my.

Program Usahawan Dinamk Iskandar Malaysia (IMProud)

Program IMProud merupakan sebuah program di bawah dana pembangunan usahawan bumiputera bagi meningkatkan kedudukan ekonomi semasa dan juga memperkasa usahawan Bumiputera supaya lebih berdaya saing. IMProud ini terdiri daripada tiga kategori iaitu Perniagaan Bergerak, Perniagaan Berkumpulan dan Skim Pembiayaan Perniagaan Mikro. Program ini adalah hasil kerjasama di antara IRDA, TERAJU dan RHB Islamic.

Dalam majlis yang sama, menyaksikan satu Skim Pembiayaan Usahawan Mikro berjumlah RM1.4 juta ditawarkan kepada 24 buah syarikat perniagaan mikro dan Industri Kecil dan Sederhana. Skim ini menawarkan pembiayaan berjumlah RM20,000 sehingga RM50,000 dengan kadar pembiayaan serendah 1.5% setahun.

Dana Mudahcara Teraju@Iskandar Malaysia

Dalam majlis yang sama, sebanyak enam buah syarikat bumiputera menerima Dana Mudahcara daripada TERAJU berjumlah RM6.12 juta. Syarikat-syarikat yang menerima dana tersebut adalah seperti berikut.

  1. Gerbang Nusajaya Development Sdn Bhd
  2. Masri Processing Sdn Bhd
  3. NB Poultry Sdn Bhd
  4. Bina Mekar Sdn Bhd
  5. Wibawa Biotech Sdn Bhd dan Navegacion
  6. Logistics Sdn Bhd

Dana mudahcara ini adalah geran sebanyak 15% daripada kos keseluruhan infrastruktur dan peralatan yang diberikan kepada syarikat bumiputera yang berprestasi tinggi.

 

Program MAHIR

Bagi memastikan semua golongan menerima limpahan ekonomi yang saksama, IRDA, dan JUITA bekerjasama menyediakan program MAHIR iaitu program latihan kemahiran yang disasarkan kepada golonganB40 yang bertujuan meningkatkan pendapatan isi rumah peserta. Dana bagi menjalankan program kemahiran disalurkan oleh PTPK sebanyak RM275,000.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat dalam pembangunan usahawan di Iskandar Malaysia. Kami berharap kerjasama seperti ini dapat teruskan lagi pada masa hadapan bagi memastikan wilayah ini mencapai visinya pada tahun 2025,” Kata Datuk Ismail.

##TAMAT##

Latar Belakang IRDA

Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) adalah badan berkanun yang diberi mandat untuk merancang, mempromosi dan menjadi pemudahcara kepada pembangunan di Iskandar Malaysia. IRDA turut bertanggungjawab merealisasikan wawasan dan objektif Iskandar Malaysia menjadi sebuah metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan mampan.

Untuk petanyaan lanjut, sila hubungi:

Encik Sulaiman Yahya  – 013-3415214, sulaiman@irda.com.my

Puan Norliza Isa           – 019-7788379, norliza@irda.com.my

Puan Izyan Ahmad        – 012-7945696, izyan@irda.com.my

Latar Belakang Iskandar Malaysia

Iskandar Malaysia adalah satu pembangunan koridor ekonomi yang berkembang pesat di selatan Johor, Malaysia. Pembangunan rantau ini seluas 2,300 kilometer persegi iaitu tiga kali ganda daripada keluasan Singapura dan dua kali ganda keluasannya daripada Hong Kong. Wilayah ini memanfaatkan sinerginya dengan kedudukan Singapura kerana kedua-duanya saling melengkapi sebagai hab kerancakan ekonomi serantau. Di bawah ketelitian Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia, rantau pembangunan ini terdiri daripada lima zon utama.

Dengan kelebihan tanah yang luas, ia merupakan projek pembangunan tunggal terbesar yang sedang dilaksanakan di rantau ini. Disebabkan lokasinya yang strategik, akses kepada bandar-bandar utama Asia serta berdekatan dengan beberapa buah negara yang berkembang dengan pesat dan berkepentingan ekonomi, Iskandar Malaysia berjaya menarik pelabur asing dan pelaburan korporat peringkat tinggi. Ini berikutan potensinya yang cukup besar di dalam Asean dan rantau Asia. Terletak di Johor yang menjadi titik persinggahan di selatan Semenanjung Malaysia, antara kelebihan Iskandar Malaysia termasuk:

  • Enam hingga lapan jam radius penerbangan daripada pusat pertumbuhan Asia yang berkembang seperti Bangalore, Dubai, Hong Kong, Seoul, Shanghai, Taipei dan Tokyo.
  • Dalam jangkauan pasaran global lebih 800 juta penduduk.
  • Boleh diakses melalui udara, darat, kereta api dan juga laut
  • Dilengkapi tiga pelabuhan utama – Pelabuhan Pasir Gudang, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Tanjung Langsat.

Share this post