TUNKU MAHKOTA ISMAIL YOUTH CENTRE (TMIYC) ISKANDAR PUTERI BAKAL JADI PLATFORM BANGUNKAN BAKAT ORANG MUDA JOHOR  

 
 
 
Johor Bahru, 4 December 2022
 
Iskandar Puteri, 4 Disember 2022 – Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, pada hari ini telah menyempurnakan majlis pecah tanah Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri yang bakal menjadi satu platform untuk pembangunan bakat Orang Muda Johor apabila ianya siap kelak.
 
Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, berkata, “Tunku Mahkota Ismail Youth Centre ini adalah inisiatif strategik yang lahir daripada cetusan idea DYAM Tunku Mahkota Johor, bagi mewujudkan pusat pembangunan yang menyediakan ruang kondusif untuk golongan belia. Mereka dapat melakukan pelbagai aktiviti berkaitan keusahawanan, kesukarelawanan, seni, budaya serta sukan dan rekreasi. Aktiviti seumpama ini dapat memupuk sifat kepimpinan dan jati diri di kalangan anak muda Johor.”
 
“Perancangan telah dilakukan untuk membangunkan pusat sedemikian, dengan sekurang-kurangnya satu TMIYC di setiap daerah negeri Johor, agar tiada Orang Muda Johor yang ketinggalan dalam mendapatkan peluang yang disediakan. Sehingga kini, terdapat dua TMIYC yang dibangunkan. Pertama ialah TMIYC Hutan Bandar Johor Bahru, yang dibuka dengan rasminya pada Disember 2020 dan yang kedua ialah TMIYC Muar yang sedang dalam pembinaan.”
 
Dibina di atas kawasan seluas 27 ekar, TMIYC Iskandar Puteri ini adalah TMIYC ketiga di negeri Johor dan terbahagi kepada 2 zon iaitu Zon HAB Sosial dan Zon Aktif.
 
Zon HAB Sosial akan mengandungi sebuah ruang acara tertutup yang boleh memuatkan diantara 800 sehingga 1,500 orang serta auditorium untuk 200 orang serta sebuah ruang acara terbuka untuk penganjuran pelbagai jenis acara dan aktiviti. Sebuah taman seni juga turut dibina khusus untuk kegunaan penganjuran acara seni dan budaya.
 
Di zon ini juga terdapat ruang niaga yang menawarkan 6 buah kedai, ruang F&B yang menawarkan 9 buah kedai khusus untuk makanan dan minuman dan sebuah restoran dengan kemudahan pandulalu. Ibu pejabat HAB menawarkan kemudahan bilik-bilik mesyuarat untuk komuniti belia manakala Studio HAB pula dibina khusus untuk aktiviti berskala sederhana dan kecil seperti e-games atau bengkel latihan kemahiran.
 
Sebuah menara ikonik melengkap kemudahan di zon HAB Sosial ini dan bukan hanya boleh digunakan sebagai menara tinjau dan aktiviti lasak “outdoor” seperti flying fox tetapi juga bertindak sebagai mercu tanda TMIYC Iskandar Puteri yang boleh dilihat dari kawasan sekelilingnya.
 
Zon Aktif pula mengandungi sebuah Gim Rakyat berkeluasan 6,800 kaki persegi yang boleh memuatkan 200 orang pada satu-satu masa di dalam bangunan dan di atas bumbung.  Sebuah velodrome dan trek BMX yang mana kedua-duanya telah pun siap dibina turut berada di dalam zon ini.
 
"Pembangunan TMIYC Iskandar Puteri, yang merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan belia Iskandar Malaysia, akan menjadi salah satu pusat pembangunan bakat muda tempatan dan seterusnya memperkasakan mereka untuk terlibat dan menyumbang bersama dalam pembangunan sosiosekonomi negeri Johor," kata Yang Berhormat Dato' Dr Badrul Hisham bin Kassim, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
 
Menurut Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Haffiz Bin Haji Ahmad, Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, “TMIYC Iskandar Puteri akan menjadikan Iskandar Puteri lebih meriah dan menarik untuk penduduk di bandar ini terutama sekali untuk golongan belia bukan sahaja daripada segi pembangunan dan pendidikan belia malah daripada segi pelancongan.”
 
Pembinaan TMIYC Iskandar Puteri ini dijangka bermula pada suku kedua 2023 dan pembinaannya akan mengambil masa selama 18 bulan. Ianya terletak berhampiran dengan Educity Iskandar Malaysia dan boleh diakses melalui pengangkutan awam apabila Stesen Anjung, Iskandar Rapid Transit dijangka siap dibina dan beroperasi pada suku tahun pertama 2025. 
Turut hadir ke majlis tersebut adalah Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor; Yang Berhormat Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor; Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Haffiz Bin Haji Ahmad, Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Yang Berhormat Dato’ Dr Badrul Hisham bin Kassim, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
Follow us: