Irda Sambut Baik Fokus Wujudkan Peluang Kerjaya Dan Peningkatan Pendapatan Rakyat Dalam Bajet 2023, Perkukuh Pembangunan Iskandar Malaysia

 
 
 
Johor Bahru, 7 October 2022
 
Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yakin bahawa fokus Bajet 2023 untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan Rakyat bukan sahaja dapat menyokong keperluan Rakyat pada masa ini malah mencapai sasaran kerajaan untuk memperkukuhkan pemulihan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Di Iskandar Malaysia, kita dapat melihat bahawa program serta inisiaitif berkaitan pekerjaan dan pendapatan yang dilaksanakan hasil daripada dana kerajaan berjaya memanfaatkan lebih 6,000 Rakyat dan seterusnya memperkukuh pembangunan wilayah ini. Pencapaian ini dapat direalisasikan dengan menyelaraskan program dan insentif ini dengan keperluan Rakyat, kerjasama dan sokongan pihak kerajaan dan swasta selari dengan pembangunan serta halatuju wilayah ini,” jelas YB Dato’ Dr Badrul Hisham Kassim, Ketua Eksekutif IRDA.

Peruntukan berkaitan yang diumumkan seperti insentif penggajian serta kemudahan peminjaman perniagaan khusus untuk belia berjumlah RM305 juta, dana pembiayaan perniagaan khas untuk wanita berjumlah RM235 juta serta dana pinjaman aktiviti automasi dan pendigitalan PKS sebanyak RM10 bilion dilihat mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan, keusahawanan dan perniagaan kepada pelbagai golongan dan seterusnya meningkat pendapatan Rakyat.

Beliau turut berterima kasih atas peruntukan sebanyak RM80 juta yang diumumkan untuk projek Iskandar Rapid Transit (IRT). Projek ini juga bakal membantu perniagaan berkembang dengan meluaskan lagi capaian mereka apabila ia menjadi satu platform pengangkutan awam yang menghubungkan 90% kawasan berpenduduk di wilayah ini selain meyumbang kepada pengurangan gas rumah hijau.

Selain daripada projek IRT, Iskandar Malaysia juga akan mendapat manfaat daripada peruntukan untuk pelaksanaan projek infrastruktur Landasan Kereta Api Berkembar Gemas-Johor Bahru, RTS Link, menaik taraf Lebuh Raya Utara Selatan di Senai Utara-Pandan dan pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway.

Antara inisiatif sosio-ekonomi di Iskandar Malaysia melalui peruntukan Kumpulan Wang Covid-19, Iskandar Malaysia Employment Grant (IMEG) atau geran penggajian yang membantu syarikat-syarikat mengekalkan atau mengambil pekerja baharu, telah memanfaatkan 2,500 pekerja di 250 syarikat di Iskandar Malaysia, pada tahun 2021, terutama sekali yang berada dalam 9 sektor ekonomi yang dipromosikan.

Untuk menyokong keperluan sektor kesihatan, 250 jururawat di 10 hospital swasta di wilayah ini turut dipertingkatkan dengan kemahiran baharu manakala bagi sektor elektronik dan elektrikal pula, 72 graduan menganggur telah diberi kemahiran khusus. 217 graduan yang tidak bekerja pula telah melalui program Perantis Iskandar dan telah pun mendapat penempatan kerja bersama syarikat dalam bidang yang dilatih dengan gaji minima RM2,000 sebulan dan keatas.

Tambah Dato’ Dr Badrul Hisham, “Sebagai sebuah wilayah ekonomi, kami sedar akan ketidaktentuan keadaan ekonomi pada tahun 2023 dan kami perlu mengambil langkah-langkah yang lebih intensif untuk menarik masuk pelaburan. Oleh itu, kami juga amat gembira dengan pengumuman insentif baharu dan pelanjutan insentif sedia ada dalam menarik pelaburan ke Iskandar Malaysia seperti pengenalan kadar cukai efektif minimum di peringkat global, pewujudan dana pelaburan lebih 1 bilion ringgit, insentif cukai pendapatan dan pelaburan yang berkaitan serta komitmen GLC dan GLIC untuk membuat pelaburan langsung domestik sehingga RM45 bilion yang mana kami percaya akan meningkatkan pelaburan ke dalam Iskandar Malaysia.”

Dari segi pelaburan, apa yang lebih menarik bagi Iskandar Malaysia ialah peruntukan keseluruhan hampir RM550 juta untuk agenda sekuriti makanan termasuk insentif seperti Skim Pembiayaan Agrofood BNM pada kadar 3.5 peratus, Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia serta pelanjutan insentif cukai yang berkaitan. Ini adalah amat bertepatan dengan sektor ekonomi terbaharu di Iskandar Malaysia iaitu sektor pertanian moden dan pada masa ini satu kawasan khas di bahagian utara wilayah ini telah pun didedikasikan untuk pembangunan sektor ini, tambah beliau.

“Di Iskandar Malaysia, pembangunan ekonomi yang dilaksanakan dirancang untuk mempunyai manfaat melimpah atau sampingan kepada kawasan dan Rakyat yang berada di dalam dan bersebelahan dengan wilayah ini. Oleh itu, peruntukan-peruntukan lain dalam industri yang dipromosikan di wilayah ini dan diumumkan dalam bajet 2023 seperti industri eletrik & elektronik, aeroangkasa, sains, teknologi dan inovasi, dan kreatif adalah diharap akan juga memberi kesan positif kepada pembangunan Iskandar Malaysia,” jelas Dato’ Dr Badrul Hisham.
Follow us: