Irda Catat Rm13 Bilion Pelaburan Komited

 
 
 
Johor Bahru, 25 July 2022
 
Pada hari ini, saya dan YAB Dato’ Onn Hafiz, Menteri Besar Johor secara bersama telah mempengerusikan Mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar Malaysia (IRDA) kali ke-30.

Mesyuarat turut dihadiri oleh YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan, YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Tan Sri Mohamad Zuki Ali dan Ketua-ketua jabatan yang terlibat.

Sejak penubuhannya, IRDA telah merekodkan sejumlah RM219 bilion yang mana sebanyak 60 peratus (hampir RM221 bilion) daripadanya adalah pelaburan domestik dan selebihnya RM148 bilion daripada pelaburan asing.

Bagi tahun ini pula, sehingga bulan Jun 2022, Iskandar Malaysia telah mencatatkan sebanyak RM13 bilion pelaburan komited, sebanyak RM6 bilion daripadanya telah pun direalisasikan.

Jumlah yang dicatat ini membuktikan pelabur asing semakin yakin untuk melabur di Malaysia. Sebanyak lebih RM10 bilion bakal dijana oleh pelaburan asing di wilayah ini untuk pembangunan pusat data (data centre).

Pelaburan asing ini akan memberikan pertambahan peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia. Secara keseluruhannya, lebih 6,000 orang Keluarga Malaysia di wilayah ini telah mendapat manfaat secara langsung daripada semua inisiatif sosioekonomi yang telah dijalankan.

Dalam pada itu, IRDA turut merangka Strategi Pertanian Moden dalam mengukuhkan agenda Sekuriti Makanan.

Pembangunan teknologi 5G yang merupakan komponen sokongan utama Pertanian Moden disegerakan di Kawasan Iskandar Malaysia bagi menangani isu bekalan makanan dalam negara.

Ini adalah sejajar dengan agenda Kerajaan yang memberikan penekanan kepada sekuriti makanan melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12). Pertanian Moden Iskandar Malaysia ini bakal menjenamakan IRDA sebagai “Agrifood Hub” Malaysia.

IRDA juga sedang merangka Draf Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia 2022 – 2030 yang bakal menjadikan wilayah ini sebagai salah satu tunjang utama menjana ekonomi negara dengan berkonsepkan pembangunan mampan dan berdaya tahan terhadap ketidaktentuan, kejutan dan tekanan masa depan.
 
Follow us: