Penerima Anugerah Tertinggi ‘Green Accord Initiative Award’ (Gaia) Iskandar Malaysia 2021/2022 Terap Elemen Kemampanan Dalam Produk

 
 
 
Johor Bahru, 17 August 2022
 
Penerapan elemen kemampanan dalam produk yang dihasilkan melayakkan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ), Sunway Iskandar dan Kerry Ingredients (M) Sdn Bhd menerima anugerah tertinggi ‘Green Accord Initiative Award’ (GAIA) Iskandar Malaysia 2021/2022, masing-masing untuk kategori Hartanah Individu, Perbandaran dan Industri.

Semasa majlis penyerahan anugerah pada petang tadi, YB Tuan Raven Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, berkata, “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), pihak berkuasa tempatan dan pihak sektor swasta atas sokongan penuh dan penyertaan anda dalam program GAIA ini serta atas usaha menghijaukan Johor dan mewujudkan masyarakat rendah karbon.”

“Pihak Kerajaan Negeri Johor berasa bangga mengetahui bahawa sebanyak 22 anugerah GAIA telah dianugerahkan di Iskandar Malaysia dalam tempoh 5 tahun, termasuk 7 penerima GAIA baharu pada hari ini.”

Selain daripada anugerah tertinggi, GAIA 2021/2022 turut menganugerahkan empat lagi Anugerah Penghargaan atau ‘Special Mentions’ kepada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Hospital Columbia Asia (Tebrau), untuk kategori Hartanah Individu, manakala untuk kategori Komersial dan Perbandaran Industri pula anugerah diberikan kepada Sunway Grid dan Frontier Park.

Sementara itu, turut disenarai pendek ialah Bangunan Direktorat Penguatkuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Cam Plus (Johor) Sdn Bhd yang telah menerima anugerah 'Value Participant' GAIA 2021/2022.

Dalam konteks menghasilkan produk yang mampan, Kerry Ingredient (M) Sdn Bhd (Kerry), yang terletak di Taman Perindustrian Plentong, Masai, contohnya, telah meningkatkan saiz pembungkusan botol daripada 1L kepada 1.2L. Perubahan ini menjimatkan 1 juta botol dan mengelakkan pembebasan CO2 sehingga 177 tan. Kerry turut meningkatkan saiz gulungan pembungkusan sebanyak 50%, di mana ianya berpotensi mengurangkan sisa foil dan mengelakkan sekurang-kurangnya pembebasan 2.1 tan kg CO2.

Mengambil kira perbandaran sebagai satu ‘produk’, Bandar Sunway Iskandar Puteri pula mendedikasikan 40% keluasan tanah dalam sempadannya sebagai kawasan hijau, termasuk memelihara hutan bakau seluas 144 ekar di Sungai Pendas, sepanjang 7 kilometer. Perbandaran yang dibina oleh mereka ini juga direka bentuk dengan mengambil kira kemudahan akses, yang membolehkan penduduk hanya perlu berjalan kaki ke fasilitifasiliti berdekatan lantas mengurangkan penggunaan kenderaan.

Sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan, anugerah diberikan kepada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) kerana menggunakan 100% kayu kategori hijau dan lebih daripada 20% bahan binaan tempatan atau bahan kitar semula dalam pembinaan bangunan pejabat barunya yang turut mempunyai 7 stesen pengecas EV (electric vehicle) serta 20 ruang tempat letak kereta khusus bagi EV. MBIP juga berperanan sebagai penggerak program rendah karbon dengan bajet tahunan sekurang-kurangnya sebanyak RM 650k dalam menyokong inisiatif-inisiatif kelestarian komuniti.

Yang Berhormat Dato’ Dr Badrul Hisham Kassim, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), berkata, “Dalam soal pemuliharaan alam sekitar, saya gembira melihat pelbagai usaha kolaboratif telah dijalankan ke arah mencapai visi Iskandar Malaysia untuk menjadi metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan mampan.”

“Inisiatif-inisiatif hijau ini amat penting, lebih-lebih lagi apabila kita memasuki fasa pasca pandemik, di mana Iskandar Malaysia menyasarkan untuk mewujudkan ekosistem yang berdaya tahan untuk menyokong fasa pemulihan serta menghadapi cabaran masa hadapan.”

Buat pertama kalinya, GAIA kali ini memperkenalkan pendekatan penilaian kendiri untuk semua peserta melalui penggunaan templat ‘Comprehensive Assessment System for Built Environment Efficiency’ (CASBEE). Dengan kaedah penilaian kendiri ini, peserta lebih memahami setiap aspek penilaian dan boleh mengenalpasti sekiranya terdapat sebarang jurang atau kekurangan di dalam usaha hijau mereka. Ini akan membolehkan mereka mengenal pasti langkah dan strategi penambahbaikan untuk melaksanakan inisiatif alam sekitar yang lebih komprehensif.

GAIA dianugerahkan kepada penerima dari pihak industri, komersial, perbandaran dan hartanah individu yang layak diiktiraf berdasarkan usaha pemuliharaan alam sekitar yang telah mereka laksanakan.
Follow us: