Wajah Baru Sungai Segget Rancakkan Pembangunan Seni, Warisan Dan Budaya Di Pusat Bandaraya Johor Bahru

 
 
 
Johor Bahru, 30 May
 
YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, telah memperkenalkan wajah baru Sungai Segget dan melancarkan ‘Program Geran Pusat Bandaraya Johor Bahru: Seni, Warisan dah Budaya’, pada petang ini, yang akan merancakkan pembangunan seni, warisan dan budaya di pusat bandaraya ini.

YB Dato’ Dr Badrul Hisham bin Kassim, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berkata, “Lanskap Sungai Segget yang terbaharu ini dihidupkan dengan elemen dan komponen yang berasaskan identiti warisan Johor. Usaha ini menjadikan kawasan Sungai Segget lebih holistik untuk pembangunan dan kegunaan komersil, budaya dan rekreasi.”

Tambah beliau lagi, penaiktarafan lanskap Sungai Segget ini mampu menarik lebih banyak pelancong dan Rakyat tempatan untuk kembali menghidupkan pusat bandaraya ini. Beliau juga berharap agar ianya akan membantu merancakkan semula ekonomi bagi membantu komuniti di sekitar Sungai Segget dan pusat bandaraya Johor Bahru. Ini adalah sejajar dengan usaha-usaha di Iskandar Malaysia untuk membantu pemulihan ekonomi yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan akan diperhebatkan lagi dengan ‘Program Geran Pusat Bandaraya Johor Bahru: Seni, Warisan dan Budaya’ yang baru diperkenalkan.

Hamdan Majeed, Pengarah Urusan Think City berkata, “Antara tumpuan awal penglibatan Think City di Johor Bahru pada tahun 2016 adalah dalam menjalankan sebuah kajian pemetaan bandar yang sebagai asasnya menggariskan cadangan peremajaan dan pengaktifan semula pusat bandaraya Johor Bahru melalui pendekatan placemaking. Pelan Hala Tuju Pelaksanaan Transformasi Johor Bahru juga telah disediakan oleh Think City bersama MBJB pada tahun 2020 bagi mengatur strategi yang memanfaatkan pusat bandaraya Johor Bahru. Think City kini kian memperkukuhkan inisiatif yang pelbagai untuk menjadikan Johor Bahru sebuah bandar yang berdayahuni bersama IRDA dan MBJB. Bahkan, usaha ini bersesuaian untuk menyokong dan memulih aktiviti dan perniagaan agar kekal rancak pasca pandemik.”

‘Program Geran Pusat Bandaraya Johor Bahru: Seni, Warisan dan Budaya’ adalah hasil kerjasama IRDA dan Think City serta disokong oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di mana sebanyak RM1,000,000 telah diperuntukkan untuk pelaksanaan dikawasan pusat bandaraya Johor Bahru.

Program ini bertujuan untuk memperkasa dan memperkukuh pembangunan komuniti di sekitar Bandaraya Johor Bahru melalui penglibatan bersama dalam usaha peremajaan bandar sekaligus menanam rasa kepunyaan secara bersama. Ianya juga bertujuan untuk memelihara dan memulihara kepelbagaian aset warisan dan budaya di Bandaraya Johor Bahru bagi mengekalkan identiti tempatan, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. 

Pendekatan yang diambil bagi program ini adalah dalam bentuk pemberian geran kepada komuniti yang akan memastikan impak projek yang dikenalpasti adalah lebih menyeluruh dan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan diambil kira sepanjang pelaksanaan.

3 skop untuk permohonan dan penggunaan geran ini adalah:
1. Kandungan budaya iaitu menghasilkan kandungan yang berkualiti melalui penyusunan, penerbitan, pendigitalan dan pentafsiran maklumat yang mampu menambah baik pengalaman pengunjung.
2. Pengaktifan semula ruang yang boleh menghidupkan kembali bangunan atau ruang usang dan rosak di sekitar Bandaraya Johor Bahru dengan membaik pulih, mengaktifkan dan mengguna semula bangunan atau ruang tersebut bagi memelihara warisan bandar serta meningkatkan daya hidup dan daya tarikan pengunjung.
3. Program komuniti yang boleh memperkasa dan mengaktifkan komuniti di Bandaraya Johor Bahru dengan menyediakan program pembangunan kapasiti serta kaedah yang diperlukan bagi menyumbang kepada pembangunan, keterangkuman dan penglibatan komuniti.

“Inisiatif Sungai Segget dan program geran ini melibatkan kerjasama dan sokongan dari pelbagai pihak seperti Majlis Bandaraya Johor Bahru dan agensi-agensi kerajaan pusat dan negeri. Dengan kerjasama ini, kita bukan sahaja berjaya mencantikkan Sungai Segget, meningkatkan kualiti air sungai dan mengurangkan banjir di kawasan ini tetapi kini dapat memperkasakan komuniti untuk memeriahkan lagi kawasan ini, “tambah Dato’ Dr. Badrul Hisham. 

Projek menaiktarafkan lanskap Sungai Segget ini merupakan Fasa 3 dalam ‘Projek Peremajaan Sungai Segget’. Terdahulu, Fasa 1 melibatkan ‘Loji Rawatan Kumbahan Berpusat’ dan Fasa 2 pula melibatkan pembinaan ‘Sistem Pembentungan dan Mitigasi Banjir’. Turut hadir pada majlis hari ialah Yang Berhormat Dato' Haji Azmi Bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor; YB Dato’ Haji Mohd. Noorazam bin Dato’ Haji Osman, Datuk Bandar Johor Bahru dan wakil-wakil dari rakan-rakan agensi dan komuniti.  
Follow us: