Pm Mahu Irda Teruskan Fokus Dalam Usaha Pemulihan Ekonomi Dan Sosial Bersasar Seiring Dengan Pelan Pemulihan Ekonomi Kerajaan

 
 
 
Johor Bahru, 25 Julai
 
YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) untuk meneruskan fokus dan inisiatif pemulihan ekonomi bersasar di wilayah Iskandar Malaysia semasa fasa endemik ini seiring dengan Pelan Pemulihan Ekonomi kerajaan.

"Pembangunan sosioekonomi strategik yang dilaksanakan di Iskandar Malaysia berlandaskan kepada potensi dan keperluan industri dan pasaran mampu meningkatkan taraf kehidupan rakyat setempat sama ada dari segi pendapatan, kemahiran, kompetensi mahupun ilmu pengetahuan. Usaha ini telah dipertingkatkan dan dijalankan dengan lebih intensif bukan sahaja untuk membantu rakyat dan perniagaan tempatan ketika suasana ekonomi yang mencabar malah untuk membentuk dan menyediakan satu ekosistem yang lebih mampan bagi menghadapi keperluan masa hadapan," katanya semasa mempengerusikan mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa (MoA) IRDA pagi tadi.

Dalam memastikan agar syarikat-syarikat dapat terus beroperasi dengan tenaga kerja yang mencukupi dan rakyat tempatan mendapat peluang pekerjaan, inisiatif Iskandar Malaysia Employment Grant (IMEG) telah berjaya mengekal dan menyediakan pekerjaan untuk seramai 2,500 pekerja berdasarkan keperluan 250 buah syarikat pada tahun lepas sahaja.

Untuk menyokong keperluan sektor kesihatan, 250 jururawat di 10 hospital swasta di wilayah ini turut dipertingkatkan dengan pengetahuan dan kemahiran baharu sejajar dengan keperluan industri. Bagi sektor elektronik dan elektrikal pula, 72 graduan menganggur telah diberi kemahiran khusus bagi tujuan mendapatkan pekerjaan. 217 graduan yang tidak bekerja pula telah melalui program Perantis Iskandar yang dikelolakan oleh Educity Iskandar Malaysia dan kesemua mereka telah pun mendapat penempatan kerja bersama syarikat dalam bidang yang dilatih dengan gaji minima RM2,000 sebulan dan keatas.

Program IM Makmur yang merupakan program khusus untuk golongan rentan pula menyaksikan seramai 1,024 rakyat daripada golongan Orang Kurang Upaya, ibu tunggal, 2 PIHAK BERKUASA WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR ahli keluarga nelayan serta anak yatim menerima latihan kemahiran dan bantuan Pendidikan untuk anak-anak mereka. Hasilnya, 27 peserta telah mendapat pekerjaan sebagai pemandu lori di syarikat logisitik dengan pendapatan melebihi RM3,000 sebulan, 68 usahawan baru telah mendaftar dengan SSM, 356 pelajar telah mendapat bantuan tuisyen, dan secara amnya, peserta program ini telah merekodkan peningkatan pendapatan antara 35% hingga 80%. Para peserta yang menjadi usahawan telah menikmati purata peningkatan pendapatan bulanan sekitar 38%.

Secara keseluruhannya, lebih 6,000 rakyat di wilayah ini telah mendapat manfaat secara langsung daripada semua inisiatif sosioekonomi yang telah dijalankan sama ada melalui peruntukan Kerajaan Pusat iaitu PENJANA dan Kumpulan Wang COVID-19 serta Dana Projek Sosial Iskandar Malaysia sendiri.

Daripada segi pelaburan, sejak penubuhannya pada pada tahun 2006 sehingga Jun 2022, Iskandar Malaysia telah merekodkan sejumlah RM368 bilion pelaburan dimana 60 peratus daripadanya, ataupun RM219 bilion telah direalisasikan. Daripada jumlah tersebut, pelaburan domestik menyumbang 60 peratus daripada keseluruhan pelaburan direkodkan manakala 40 peratus lagi adalah daripada pelaburan asing.

Bagi tahun ini pula, sehingga bulan Jun 2022, Iskandar Malaysia telah mencatatkan RM13 bilion pelaburan komited dimana sebanyak RM6 bilion telah pun direalisasikan.

Keyakinan pelabur terhadap wilayah ini serta negeri Johor kembali dapat dilihat apabila Malaysia memasuki fasa endemik, dengan kehadiran Insulet, sebuah syarikat peranti perubatan dari Amerika Syarikat, di Iskandar Malaysia dengan pelaburan sebanyak RM876 juta iaitu sebahagian daripada RM1 bilion pelaburan dalam sektor peranti perubatan di wilayah ini.

Pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kualiti hidup di Iskandar Malaysia memerlukan ketersambungan rangkaian pengangkutan melalui projek infrastruktur seperti pelebaran Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Barat serta pembangunan Flagship F di utara wilayah ini dan juga pelaksanaan Iskandar Rapid Transit.

IRDA juga menyarankan agar halatuju bagi memastikan bekalan air yang cukup dibuat secara holistik termasuk dasar baharu penerokaan sumber air, pelaksanaan pengurusan permintaan air dan memanfaatkan teknologi.

Bagi memastikan pembangunan wilayah ini dapat mencapai sasarannya di dalam cabaran pemulihan ekonomi ini, IRDA telah menyediakan Hala Tuju Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia (CDPiii) 2022-2030 yang telah dibentangkan untuk dibincangkan bersama Ahli Pihak Berkuasa IRDA.

Mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa IRDA pada pagi tadi dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri dan YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor turut membincangkan perkara-perkara strategik berkaitan Iskandar Malaysia seperti Ekosistem Perniagaan dan 3 PIHAK BERKUASA WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR Pelaburan termasuk perkara berkaitan insentif dan Jawatankuasa Khas Peringkat Menteri Antara Malaysia-Singapura.

Latarbelakang Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA)
Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) merupakan sebuah badan berkanun Kerajaan Malaysia yang ditugaskan dengan okbjektif untuk mengawal selia dan memacu pemegang-pemegang taruh daripada sektor awam dan swasta dalam mencapai visi membangunkan Iskandar Malaysia menjadi sebuah metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan mampan.

Kuasa dan fungsi utama IRDA dalam mencapai objektif di atas ialah merancang, memudahcara dan mempromosi.
Follow us: