Program Imskill Perkukuh Kemahiran Asas, Pelbagaikan Peluang Pendapatan Untuk Belia Di Iskandar Malaysia

 
 
 
Johor Bahru, 7 July 2022
 
112 belia di Iskandar Malaysia kini mampu mempelbagaikan peluang pendapatan mereka setelah menamatkan latihan bersijil kemahiran teknikal dan amalan terbaik perniagaan di bawah Program Iskandar Malaysia Business Upskilling for Youth (IMSKILL) baru-baru ini.

5 bengkel latihan itu merangkumi kemahiran membuat pastri, menggunting rambut, penjenamaan dan pemasaran melalui telefon pintar, digitalisasi serta kemahiran untuk merancakkan dan mempelbagaikan produk dan perniagaan.

Yang Berhormat Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor berkata, “Salah satu daripada 6 teras dalam amanat YAB Menteri Besar Johor ialah jaringan keselamatan sosial yang melibatkan pembangunan sumber manusia dan peningkatan pendapatan. Ini adalah satu agenda yang amat penting bukan sahaja untuk menangani kesan pandemik COVID-19 malah untuk terus mengekalkan taraf kehidupan dan menghadapi saingan ekonomi yang semakin mencabar.”

“Saya melihat program IMSKILL yang baru sahaja tamat latihannya untuk 112 belia pada hari ini amat bertepatan dengan teras jaringan keselamatan sosial dan dengan ini turut gembira untuk mengumumkan bahawa program IMSKILL 2.0, iaitu fasa keduanya, akan diperkenalkan tidak lama lagi untuk lebih ramai belia di Iskandar Malaysia mendapat bantuan dan manfaat yang disasarkan.”

Peserta latihan kemahiran pastri telah mempelajari asas-asas operasi perniagaan serta teori dan praktikal pembuatan pastri yang amat berguna untuk mereka membuka perniagaan atau menjadi cef.

Peserta kemahiran menggunting rambut pula dilatih dalam pelbagai gaya guntingan serta mendapat perkongsian pengalaman daripada akademi gunting rambut berjaya dan dibekalkan dengan set peralatan gunting rambut. 50% daripada perserta kemahiran menggunting rambut ini telah pun mendapat tawaran pekerjaan.

Menurut Yang Berhormat Dato’ Dr Badrul Hisham Kassim, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), program sosioekonomi sebegini telah lama dilaksanakan di Iskandar Malaysia untuk memastikan agar kemahiran Rakyat dibangunkan sejajar dengan perkembangan fizikal wilayah ini.

Beliau turut menambah bahawa pandemik COVID-19 telah mendorong pihak IRDA untuk memperhebatkan lagi inisiatif sosio-ekonomi sebegini sebagai langkah pemulihan ekonomi tempatan.

Bentuk kemahiran yang ditawarkan di bawah program IMSKILL, serta programprogram lain yang berbentuk pemberian geran serta pembangunan kemahiran dan kapasiti dilaksanakan berdasarkan keperluan Rakyat dan pasaran tempatan. Pelaburan yang beroperasi di Iskandar Malaysia juga menyumbang kepada pekerjaan dan perniagaan untuk Rakyat di wilayah ini.

Program IMSKILL ini dibiayai melalui dana Peruntukan Upskilling dan Reskilling daripada Kerajaan Persekutuan.

Pada majlis penyerahan sijil tamat latihan hari ini, penduduk-penduduk di Flat Larkin Perdana mendapat khidmat gunting rambut percuma daripada pesertaperserta program IMSKILL.
Follow us: