Pertandingan Imelc 2022 Tambah Modul Cabaran Pengumpulan Minyak Masak Terpakai Dan Kesedaran Kepentingan Aset Semulajadi

 
 
 
Johor Bahru, 14 July 2022
 
Sempena tahun ke sepuluh (10) perlaksanaan pertandingan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) tahun ini, modul cabaran pengumpulan minyak masak terpakai dan juga kesedaran kepentingan aset alam semulajadi telah diperkenalkan untuk meningkatkan pemahaman dan usaha pemeliharaan alam sekitar di kalangan pelajar dan sekolah di sekitar negeri Johor.

Selain daripada dua (2) dua modul cabaran baharu ini, pertandingan ini turut melibatkan modul cabaran kitar semula barangan, penjimatan air dan juga elektrik.

IMELC, yang bermula sejak tahun 2013, dilaksanakan tahun ini oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai Agensi Pelaksana beserta Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan SWM Environment (SWM) sebagai Rakan Utama manakala Apeiron Bioenergy Sdn Bhd (Apeiron) sebagai Rakan Sokongan.

Pengenalan modul kesedaran kepentingan aset semulajadi diharap dapat membantu para pelajar Johor mengenali dan berbangga dengan keunikan dan kepentingan warisan semula jadi dan seterusnya peka tentang apa yang perlu dilakukan untuk melindunginya. Pengumpulan minyak masak terpakai melengkapkan lagi amalan bebas sisa dan diharap dapat mengurangkan sisa secara keseluruhannya di tapak pelupusan sampah.

Menurut YB Dato’ Dr Badrul Hisham Kassim, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), “Pertandingan ini dilaksanakan untuk mengalakkan penglibatan pelajar, guru, institusi sekolah dan keluarga dalam usaha-usaha memelihara alam sekitar. Antara tahun 2017 dan tahun 2021, kita telah melihat pengurangan karbon lebih 3.2juta KgCO2 hasil daripada aktiviti-aktiviti rendah karbon yang dilaksanakan.Jumlah pengurangan ini boleh dibandingkan dengan penyerapan karbon oleh hampir 210,000 pokok iaitu kira- kira 125 hektar kawasan. Ini adalah sesuatu yang amat membanggakan kerana kita berjaya melibatkan generasi muda pada peringkat awal, dan komuniti secara amnya, untuk lebih memahami dan berdedikasi dalam usaha membentuk sebuah masyarakat rendah karbon dan menjadikan wilayah ini lebih berdaya tahan.”

Petikan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor
“IMELC dijalankan di semua 908 buah sekolah rendah di negeri Johor dengan pelibatan lebih 100 000 orang pelajar. Jabatan Pendidikan Negeri Johor sangat menggalakkan semua sekolah untuk menyertai program ini memandangkan ia merupakan salah satu program utama dalam inisiatif Pendidikan Holistik 2.0 : Pendidikan Kelestarian yang bermatlamatkan untuk meningkatkan kesedaran dan amalan dalam kalangan pelajar, guru, ibu bapa dan seterusnya masyarakat setempat tentang kepentingan pelindungan alam sekitar.” Kata Encik Md Said Md Daimon, Pengarah, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

Petikan daripada Universiti Teknologi Malaysia
Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia, UTM yakin pemerkasaaan ilmu dan pembudayaan rendah karbon yang disuburkan melalui modul IMELC akan terus membantu mencapai Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goal khususnya dalam menangani tindakan iklim. Proses pendigitalan dan juga penerapan elemen gamifikasi dalam 6 cabaran IMELC membolehkan lebih banyak capaian dan juga perkembangan ilmu dikalangan murid seterusnya diterjemahkan dalam perubahan tingkah laku pembudayaan rendah karbon bukan sahaja dikalangan murid dan warga sekolah malah seisi rumah. UTM terus komited bersama dalam menjayakan usaha konsortium penyelidikan ini bagi memakmurkan masyarakat (prospering life) dan menyumbang kepada kesejahteraan negara.

Petikan daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri
”MBIP mentadbir kawasan yang paling pesat dibangunkan di negeri Johor iaitu dengan keluasan kawasan pentadbiran sebanyak 40,269 hektar dengan populasi penduduk sebanyak 580,944 orang (Banci 2020). Sebagai sebuah bandaraya yang berdaya maju, MBIP sangat mengambil cakna akan usaha pembangunan yang mampan. MBIP juga komited dalam memastikan kesejahteraan penduduk di Iskandar Puteri tercapai melalui segala usaha terutamanya inisiatif rendah karbon yang dijalankan dan dilaksanakan secara dinamik, inklusif dan holistik. Melalui penganjuran IMELC 2022, ianya merupakan nilai tambah untuk MBIP di dalam menjalankan inisiatif rendah karbon bagi memangkin perubahan tingkahlaku dan meningkatkan kehidupan berkualiti penduduk di Negeri Johor amnya,” kata Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) berkata,

Petikan daripada SWM Environment
Dr. Uzir Abdul Malik, Pengarah Eksekutif SWM Environment berkata, “IMELC memberi peluang kepada pihak SWM Environment mengembangkan pendidikan pengurusan sisa mampan kepada seluruh murid-murid sekolah rendah di negeri Johor sekali gus mengubah sudut pandang mereka, warga pendidik, ibu bapa dan komuniti setempat terhadap barangan kitar semula melalui Modul Cabaran Kitar Semula yang telah mengumpulkan sekitar 900,000-kilogram sejak dari tahun 2017 sehingga 2021.”

“SWM Environment amat berbesar hati untuk meneruskan penglibatan dalam IMELC pada tahun ini dengan menampilkan Kempen Kitar Semula Botol Kaca di bawah program kitar semula berinsentif, KITARecycle sempena penganjuran tahun kesepuluh tersebut. Justeru itu, pihak SWM Environment juga akan mengekalkan KITARecycle sebagai platform sokongan bagi Modul Cabaran Kitar Semula yang menawarkan pulangan wang tunai secara dalam talian sekali gus menyumbang kepada peningkatan kadar kitar semula kebangsaan”.
Follow us: