IRDA SERAHKAN 32 POS POLIS KOMUNITI KEPADA POLIS JOHOR, WUJUDKAN JARINGAN KESELAMATAN MESRA KOMUNITI

Iskandar Malaysia, 11 April – Sebanyak 32 buah Pos Polis Komuniti (CPP) yang telah dibina oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) kini diserahkan kepada Polis DiRaja Malaysia Kontinjen Johor pada pagi ini, sebahagian daripada inisiatif untuk mewujudkan jaringan keselamatan yang mesra komuniti di wilayah ini.

“Secara amnya, kawasan yang lebih selamat dengan jaringan keselamatan yang lebih mesra komuniti akan dapat menarik minat orang ramai untuk menetap di kawasan itu dan ini secara tidak langsung akan meningkatkan tahap kehidupan dan ekonomi di kawasan tersebut. Inilah scenario yang kita mahu sasarkan di Iskandar Malaysia. Kami mengambil peluang sempena Kempen Peringatan 15 Tahun Iskandar Malaysia pada tahun ini untuk menyerahkan kesemua unit yang telah dibina kepada Polis Johor untuk bersama-sama mencapai sasaran keselamatan di wilayah ini,” kata YBhg. Datuk Ismail Ibrahim, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) sempena majlis penyerahan ini.

Semua 32 pos polis komuniti ini terletak di dalam kawasan perumahan seperti Taman Flora Height ini, Taman Universiti, Taman Pulai Utama, Felda Taib Andak, Felda Ulu Tebrau, Taman Pasir Putih, Taman Perbadanan Islam, Taman Mutiara Rini, Bandar Baru Permas Jaya dan lain-lain lagi.

Pos Polis Komuniti yang pertama telah dibina pada tahun 2010 dan semua 32 unit telah siap serta beroperasi sepenuhnya pada akhir tahun 2020 dan ini membawa kepada penyerahan kesemua 32 unit kepada pihak Polis Johor pada hari ini.

Pos Polis Komuniti ini mampu menempatkan seorang anggota polis bersama keluarga dengan kelengkapan seperti sebuah rumah seperti bilik tidur, dapur, ruang tamu, ruang makan dan kawasan pejabat yang lengkap dengan kemudahan komunikasi polis. Konsep Pos Polis Komuniti ini menepati konsep Pencegahan Jenayah melalui Rekabentuk Persekitaran, lebih dikenali sebagai Crime Prevention Through Environmental Design (CPTED) seperti yang terkandung di dalam Pelan Induk Keselamatan dan Perlindungan Iskandar Malaysia.

Majlis penyerahan Pos Polis Komuniti ini telah dilaksanakan oleh En Mohamad bin Sa’elal, Pesuruhjaya Persekutuan, IRDA dan SAC Alzafny bi  Ahmad, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti sambil disaksikan oleh YBhg. Dato’ Sollehuddin Alyubi Bin Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan), Jabatan Perdana Menteri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

thirteen − three =