ISKANDAR MALAYSIA ECOLIFE CHALLENGE (IMELC) 2020 TERAP NORMA BARU, LAKSANAKAN MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH SECARA PANDU LALU

Iskandar Malaysia, 12 April 2021 – Cabaran dan kekangan yang timbul akibat pandemik COVID-19 bukanlah menjadi penghalang kepada Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) 2020 untuk menjadi lebih inovatif dengan mengadakan majlis peyampaian hadiahnya secara pandu lalu.

“Kita mahu terus menghargai 19 sekolah di sekitar Johor, serta guru dan pelajar mereka, yang telah bekerja keras pada tahun lepas untuk menjadi pemenang-pemenang dalam pertandingan penjimatan air, elektrik dan kitar semula ini diantara seramai 55,000 pelajar dan 546 sekolah yang terlibat. Walaupun lebih mudah untuk terus sahaja menghantar hadiah-hadiah kepada sekolah yang menang, kami mahukan kemenangan ini menjadi lebih bermakna kepada mereka. Melalui konsep pandu lalu ini, guru dan pelajar yang menang akan mempunyai gambar kenangan kemenangan rasmi dan pada masa yang sama, prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi,” kata YBhg. Datuk Ismail Ibrahim, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Sejumlah RM19,172.05 bil elektrik dan RM29,192.39 bil air berjaya dijimatkan sepanjang bulan Oktober dan November 2020, manakala  RM52,930.61 (204,828.5 kg) nilai barang kitar semula telah dikumpulkan bermula awal Januari sehingga November 2020, sepanjang  pertandingan ini dijalankan. Oleh itu, secara keseluruhannya sebanyak RM101,291.05 telah dapat dijimatkan dan dijana oleh pelajar-pelajar dan sekolah-sekolah yang mengambil bahagian dalam IMELC 2020.

Menurut Datuk Ismail lagi, bagi menyesuaikan program ini dengan keadaan norma baharu akibat pandemik COVID-19, IMELC 2020 juga telah berjaya dilaksanakan secara dalam talian (online) melalui pembangunan modul oleh pakar penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia menerusi platform Google Classroom.

Prof. Dr. Fatin Aliah Phang, Pengerusi Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysi berkata “Melalui modul IMELC di platform Google Classroom, pelajar berupaya melakukan simulasi dan melihat sendiri anggaran pembebasan karbon bagi setiap aktiviti yang dijalankan di rumah, seterusnya menyedarkan seisi rumah akan keperluan mereka membudayakan gaya hidup rendah karbon. Melalui penglibatan proaktif guru, ibubapa dan pelajar dalam IMELC tahun 2020 ini, diharapkan Johor dapat menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (Sustainable Development Goals SDG), selain membina Kemahiran Abad Ke-21 bagi menghadapi cabaran Revolusi Industri Ke-4 ini.”

Tn. Hj. Mohd Norlisam bin Mohd Nordin, Pengurus Besar Korporat, SWM Environment, “IMELC 2020 telah memberi peluang kepada SWM Environment meneroka kaedah dalam talian sebagai platform pendidikan kesedaran kitar semula yang baharu. Sementara itu, perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang aktiviti kutipan kitar semula dilaksanakan oleh 3R Troopers malah merekodkan peningkatan berat muatan sebanyak 232 tan berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan menyaksikan SJK(C) Foon Yew 2, Johor Bahru yang telah mengumpulkan sebanyak 19,638 kilogram sekali gus menjuarai kategori kitar semula.”

Kelangsungan dan kejayaan pelaksanaan program IMELC 2020 merupakan hasil kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan SWM Environment Sdn Bhd. Pada tahun ini, program IMELC juga disokong oleh Green Technology Applications for Low Carbon Cities (GTALCC) yang merupakan projek kerjasama United Nations Development Programme (UNDP) dan SEDA Malaysia. Program pada tahun ini disokong oleh Regional Centre of Expertise (RCE) on Education and Sustainable Development, United Nation University.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × 5 =