Laman Web ‘Iskandar Malaysia Ecolife Challenge’ Tingkatkan Pemahaman Rendah Karbon dan Penyertaan Murid Sekolah Rendah Seluruh Johor

Iskandar Malaysia, 2 Ogos – Penggunaan laman web ‘Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC)’ 2021, yang telah dibangunkan dengan tajaan dari UNDP Malaysia Accelerator Lab, bakal meningkatkan pemahaman dikalangan 100,000 murid sekolah rendah seluruh Johor mengenai kehidupan rendah karbon apabila pertandingan itu bermula pada hari ini.

Program IMELC ini telah dilaksanakan sejak 8 tahun yang lepas bermula dengan 23 sekolah dan kini telah berkembang dan melibatkan 906 sekolah di seluruh negeri Johor.

Bermula dari tahun ini, pelaksanaan IMELC telah diselaraskan secara norma baharu dengan menerapkan penggunaan platfom digital yang membolehkan capaian dan penyertaan yang lebih meluas daripada para murid, guru dan ibubapa seluruh Johor.

Malah laman sesawang www.imelc.my yang berkonsepkan pembelajaran secara interaktif dan suntikan elemen gamifikasi mampu menarik murid untuk memahami keperluan membudayakan gaya hidup rendah karbon secara dinamik. Melalui laman sesawang yang direka khas ini juga sistem pengiraan markah dan muat naik laporan IMELC daripada para guru dapat dilaksanakan dengan lebih mudah seterusnya membolehkan penentuan pemenang dapat dilakukan dengan lebih efisyen.

YBhg. Datuk Ismail Ibrahim, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), berkata, “Program ini dijalankan selaras dengan agenda rendah karbon di Iskandar Malaysia yang mahukan masyarakat terus menikmati kehidupan dalam persekitaran yang ‘hijau’ sejajar dengan pembangunan pesat yang sedang berlaku.

“Oleh itu, pada hari ini yang juga merupakan tahun ulangtahun ke-15 Iskandar Malaysia, saya bersama-sama dengan rakan-rakan strategik dan sokongan amat berbesar hati  melancarkan program Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) 2021.”

Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia yakin akan lima cabaran masyarakat rendah karbon dalam imelc.my yang disediakan oleh pasukan penyelidik UTM akan menjadi wadah bagi memakmurkan masyarakat. Lima cabaran tersebut adalah semakan gaya hidup, penggunaan air dan elektrik, penggunaan kenderaan dan amalan 3R ini.  Semoga konsortium IMELC yang terdiri daripada agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan, syarikat dan sekolah ini dapat mengangkat usaha memerangi Tindakan Iklim dan memastikan kehidupan yang lebih lestari bagi generasi masa hadapan

Kelangsungan dan kejayaan pelaksanaan program IMELC 2021 merupakan hasil kerjasama rakan-rakan strategik, iaitu Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan SWM Environment Sdn Bhd. Pada tahun ini, program IMELC juga disokong oleh projek Green Technology Applications for Low Carbon Cities (GTALCC) yang diuruskan oleh SEDA Malaysia, United Nations Development Programme (UNDP) Malaysia dan Regional Centre of Expertise (RCE) on Education and Sustainable Development, United Nations University.

Sementara itu, En. Ho De Leong, Ketua Pegawai Eksekutif SWM Environment pula menyifatkan program IMELC sebagai platform untuk menjayakan strategi dan hasrat Dasar Kebersihan Negara dan Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara yang sekali gus mampu menggerakkan usaha mencapai sasaran 40 peratus kadar kitar semula kebangsaan menjelang tahun 2025.

“Selaras dengan penerapan platform digital dalam IMELC kali ini, penggunaan aplikasi KITARecycle yang dibangunkan oleh SWM Environment dengan pemberian mata ganjaran dan rekod terperinci bagi setiap aktiviti kitar semula amat bertepatan sekali. Langkah tersebut akan dapat menghindarkan risiko pandemik dan seterusnya memudahkan sekolah-sekolah yang terlibat memantau dan memperoleh mata ganjaran yang boleh ditebus kepada wang tunai melalui pindahan secara dalam talian,” jelas beliau.

Petandingan IMELC 2021 akan berlangsung mulai Ogos sehingga Disember 2021.

Lihat video ucapan dan pelancaran disini -> https://www.facebook.com/watch/1432468413718864/1185531875281164/

Share:

Add comment: