PERUNTUKKAN RM32.5 JUTA BANTU LONJAKAN TARAF SOSIOEKONOMI RAKYAT DI ISKANDAR MALAYSIA, LEBIH 2,000 TELAH MENDAPAT MANFAAT SETAKAT INI

Iskandar Malaysia, 10 Mei – Sebanyak RM32.5 juta telah diperuntukkan di bawah inisiatif SECURE@IskandarMalaysia dan setakat ini, lebih daripada 2,000 Rakyat di Iskandar Malaysia telah mendapat lonjakan sosioekonomi hasil daripada inisiatif ini.

Menurut YAB Dato’ Ir Hasni bin Mohammad, Menteri Besar Johor dan Pengerusi Bersama, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), “Dalam keadaan yang amat mencabar kini yang mungkin akan berlanjutan dengan lebih lama, Rakyat bukan sahaja memerlukan bantuan segera tetapi juga sokongan jangka masa panjang yang boleh meningkatkan daya tahan mereka dan menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam menstabil atau meningkatkan taraf hidup mereka. Saya mahu Rakyat negeri Johor lebih bersedia untuk melangkaui cabaran pandemik ini dan saya gembira melihat ini tercapai melalui program SECURE@IskandarMalaysia.” Beliau berkata selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO IRDA pada hari ini.

SECURE@IskandarMalaysia atau ‘Inisiatif Pemulihan Ekonomi Mampan di Iskandar Malaysia’ telah dilancarkan pada bulan Februari tahun ini bersempena dengan Kempen Peringatan 15 Tahun Iskandar Malaysia. Inisiatif ini merupakan gabungan program-program yang bertujuan untuk mengekalkan pemulihan sosioekonomi komuniti dan PKS di Iskandar Malaysia.

“Buat masa ini, inisiatif SECURE@IskandarMalaysia merangkumi 7 program yang berlandaskan kepada 3 format iaitu pemberian geran atau dana, pembangunan kapasiti dan, reskilling dan upskilling. Pendekatan secara holistik ini membolehkan Rakyat mendapat sokongan bukan sahaja daripada segi kewangan malah juga daripada segi kemahiran teknikal dan insaniah,” kata YBhg. Datuk Ismail bin Ibrahim, Ketua Eksekutif, IRDA.

Program ‘Iskandar Malaysia Employment Grant’ atau IMEG, contohnya, telah mengekal atau memberikan pekerjaan kepada 987 pekerja di 68 buah syarikat di sekitar negeri Johor. Program ini berkonsepkan geran gaji sepadan (salary mactching grant) yang membantu syarikat-syarikat mengekalkan pekerja yang sedia ada atau mengambil pekerja baru dengan menggunakan geran ini untuk membayar gaji sepanjang 6 bulan.

Seramai 596 orang pula telah terlibat dalam program IM Makmur. Melalui program ini, ada individu-individu daripada golongan rentan yang telah menerima modal permulaan perniagaan sehingga RM10,000, berdasarkan model perniagaan, dan ada yang telah mendapat latihan kemahiran yang membolehkan mereka menjadi usahawan atau mendapat pekerjaan dalam masa diantara 3 hingga 6 bulan.

Bagi program ‘Iskandar Malaysia Urban Farming’ atau IMURFARM pula, seramai 140 pekebun bandar di 8 komuniti telah dilahirkan dan telah mendapat manfaat daripada hasil tanaman mereka samada untuk kegunaan sendiri ataupun dijual.

Sementara itu, 110 PKS turut mendapat bantuan geran sewaan sepadan (rental matching grant) untuk membayar sewaan tapak atau ruang perniagaan mereka sehingga RM1,500 sebulan melalui program IMRENT.

Di bawah program ‘Youth 2 Biz’ pula, seramai 56 orang telah berjaya mendapat geran untuk memulakan perniagaan melalui pengunaan lori ataupun perniagaan yang menggunakan fasiliti yang dikongsi Bersama.

“Iskandar Malaysia akan terus menawarkan program-program komuniti dan PKS sebegini kerana keterangkuman sosial dan pembangunan Rakyat adalah sebahagian daripada agenda penting dalam keseluruhan pembangunan wilayah ini iaitu daripada segi ekonomi, sosial dan alam sekitar. Kami mahu pastikan bahawa Rakyat turut mendapat manfaat dan membangun bersama,” kata Datuk Ismail.

Inisiatif SECURE@IskandarMalaysia ini menggunakan dana daripada Dana Projek Khas, PENJANA dan juga TERAJU.

Buat masa ini, permohonan untuk program IMRENT telah ditutup manakala permohonan dan maklumat lanjut mengenai program-program yang lain boleh dicapai di laman sesawang www.iskandarmalaysia.com.my/secure.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 − one =