SJK (C) FOON YEW 2 JUARA PERTANDINGAN KESEDARAN ALAM SEKITAR ‘ISKANDAR MALAYSIA ECOLIFE CHALLENGE 2021’

Pertandingan melibatkan lebih 900 sekolah dan 100,000 pelajar di dalam negeri Johor

Iskandar Malaysia, 2 Disember 2021 – Sekolah SJK (C) Foon Yew 2 dinobatkan sebagai juara pertandingan kesedaran alam sekitar ‘Iskandar Malaysia Ecolife Challenge’ (IMELC) 2021 di antara 906 sekolah dan 100,000 murid dari seluruh negeri Johor yang terlibat.

“Inisiatif melibatkan pelajar sekolah, keluarga dan komuniti mereka dalam pemeliharaan alam sekitar adalah untuk memastikan agar generasi muda ini akan dapat meneruskan kemampanan alam sekitar di Iskandar Malaysia pada masa kini dan akan datang. Penglibatan mereka akan melengkapkan usaha-usaha ‘hijau’ yang sedang dilakukan oleh sektor kerajaan dan swasta.”

“Konsep kerjasama insklusif ini lah yang membolehkan wilayah ini mencapai sasaran pemeliharaan alam sekitaranya, selain daripada pembangunan ekonomi dan sosial. Ini sejajar dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara neutral karbon seawal tahun 2050,” ucap Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), YBhg. Datuk Ismail Ibrahim.

Pada majlis pengumuman pemenang IMELC 2021 hari ini, sebanyak 15 buah sekolah telah diiktiraf sebagai pemenang-pemenang pada tahun ini atas usaha mereka penjimatan air dan elektrik, dan aktiviti kita semula. Sekolah-sekolah juga menonjolkan hasil projek sekolah IMELC seperti sifar plastik, pendidikan STEM, tanaman organik, baja kompos, kuru-kuru dan sebagainya.

Selain daripada Sekolah SJK (C) Foon Yew 2, sebagai juara, 14 sekolah lain adalah SK Taman Suria, SK Bukit Mutiara, SJK (C) Ping Ming, SK Taman Damansara Aliff, SK Seri Melati, JK (C) Ken Boon, SK Taman Pelangi Indah, SK Tanjong Gading, SJK (C) Masai, SK Desa Cemerlang, SJK (T) Taman Tun Aminah, SJK (C) Jementah 1 and SK Taman Scientex.

Sebanyak 137,793.39 kg barang kitar semula telah dikumpulkan bermula awal Januari sehingga November 2021 – sepanjang pertandingan ini dijalankan. Oleh itu, secara keseluruhannya sebanyak RM 36,347.57 telah dapat dijimatkan dan dijana oleh pelajar-pelajar dan sekolah-sekolah yang mengambil bahagian dalam IMELC 2021 melalui penjimatan bil elektrik, bil air dan kitar semula. Usaha IMELC 2021 berjaya mengurangkan 534,561.30 kgco2.

Menurut Tn. Hj. Shahilon bin Abd Halim Timbalan Pengarah Pembelajaran yang menjalankan tugas Pengarah Pendidikan Johor, “Program Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) merupakan salah satu inisiatif utama dalam Pendidikan Holistik 2.0 Pendidikan kelestarian Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ). Program Pendidikan Kelestarian Johor adalah bertujuan untuk melahirkan pelajar sekolah rendah dan menengah di Johor yang celik isu alam sekitar khususnya berkaitan Low Carbon Society supaya menjadi modal insan Johor yang peka terhadap isu alam sekitar dan pembangunan lestari dengan merujuk Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor 2019-2023 dalam menyokong Dasar Pembangunan Mampan Johor 2030.”

“JPNJ berharap IMELC dapat meningkatkan kepekaan pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat setempat tentang kepentingan pelindungan alam sekitar yang seterusnya menonjolkan Johor sebagai sebuah negeri yang mengutamakan pendidikan alam sekitar dari peringkat sekolah lagi.”

Guru Besar, Sekolah Foon Yew 2, Puan Loo Chun Huang berkata, “Pertandingan IMELC ini bukan sahaja mengalakkan pelajar, guru dan keluarga mereka yang menjimatkan penggunaan air dan eletrik dan menjalankan aktiviti kitar semula. Di sekolah kami, terdapat inisitif tambahan dalam usaha pemeliharaan alam sekitar ini seperti mengadakan ceramah tentang pendidikan kelestarian dalam talian dengan agensi seperti SWM Environment dan Universiti Teknologi Malaysia.”

Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada tahun ini tidak menghalang sekolah ini dalam meneruskan usaha-usaha perlaksanaan projek rendah karbon dan berjaya mengumpulkan sebanyak 29,950.0 kg barangan kitar semula yang bernilai RM 6,653.80 pada tahun ini. Sebanyak 9,270 Kwh bil elektrik atau RM 4,608.53 berjaya dikurangkan dan 679m3 bil air atau RM2,222.61 berjaya dijimatkan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SWM Environment, Encik Ho De Leong pula menyambut baik peranan proaktif sekolah-sekolah dalam menjayakan Kategori Kitar Semula yang bukan sahaja telah beralih menggunakan program kitar semula berganjaran dalam talian, KITARecycle malah turut menampilkan pelbagai pendekatan baharu untuk melaksanakan aktiviti kitar semula meskipun sepanjang tempoh pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) antaranya seperti Kutipan KITARecycle IMELC Dari Rumah Murid.

“Selari dengan semangat sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan pada tahun ini, SWM Environment juga menyediakan Hadiah Iringan Adiwira Bumi berbentuk mata ganjaran KITARecycle kepada 10 buah sekolah yang mengungguli Kategori Kitar Semula sebagai meraikan usaha mereka dalam menjayakan strategi dan hasrat Dasar Kebersihan Negara sekali gus menggerakkan usaha mencapai sasaran 40 peratus kadar kitar semula kebangsaan menjelang tahun 2025,” jelas beliau lagi.

Pertandingan yang bermula dengan hanya 23 sekolah pada tahun 2013, kini telah diselaraskan secara norma baharu dengan menerapkan penggunaan platfom digital yang membolehkan capaian dan penyertaan yang lebih meluas daripada para murid, guru dan ibubapa seluruh Johor. Malah laman sesawang www.imelc.my yang berkonsepkan pembelajaran secara interaktif dan suntikan elemen gamifikasi mampu menarik murid untuk memahami keperluan membudayakan gaya hidup rendah karbon secara dinamik.

Melalui laman sesawang yang direka khas ini juga sistem pengiraan markah dan muat naik laporan IMELC daripada para guru dapat dilaksanakan dengan lebih mudah seterusnya membolehkan penentuan pemenang dapat dilakukan dengan lebih efisyen. Pada tahun ini, 15 Finalis IMELC juga berjaya untuk menghasilkan “Cerita IMELC Sekolah” menggunakan aplikasi Google Earth hasil kerjasama dengan Google Earth Outreach.

Menurut Professor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), UTM akan terus komited dalam mendokong dan menyumbang kepakaran dalam pembinaan dan pelaksanaan modul dan program Low Carbon Society (LCS), Matlamat Pembangunan Mampan, SDGs dan pembangunan lestari di semua 906 sekolah rendah di negeri Johor. UTM yakin melalui sinergi bersama rakan pintar iaitu JPNJ, IRDA, SWM dan banyak pihak lagi dalam menjayakan IMELC membolehkan lebih ramai ikon perubahan iklim di negeri Johor dapat diwujudkan.

Kelangsungan dan kejayaan pelaksanaan program IMELC 2021 merupakan hasil kerjasama rakan-rakan strategik, iaitu Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan SWM Environment Sdn Bhd. Pada tahun ini, program IMELC juga disokong oleh projek Green Technology Applications for Low Carbon Cities (GTALCC) yang diuruskan oleh SEDA Malaysia, United Nations Development Programme (UNDP) Malaysia dan Regional Centre of Expertise (RCE) on Education and Sustainable Development, United Nations University.

Share:

Add comment: